| |
Beliau dilahirkan pada 24 November 1919 di Alor Star, Kedah. Tunku
Osman mendapat pendidikan awal di Hutchin School, Pulau Pinang dan
kemudiannya memasuki Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star, Kedah.
Pada bulan Mac 1935, beliau melanjutkan pelajarannya di Bristol
Grammar School, England. Di sana, beliau dijaga dan diasuh oleh
R.J. Mcgregor. Apabila tercetusnya peperangan di Eropah, Tunku Osman
menunjukkan minatnya untuk menyertai angkatan tentera apabila kesemua
anak R.J. Mcgregor menyertai Angkatan Tentera British.
Kerjaya :
- Pada 16 April 1942 hingga Ogos 1942, beliau telah menjalani
latihan dalam Gloucester Regiment sebagai rekrut. Setelah itu
beliau dihantar ke Young Soldiers Battalion of 11 Fracombe di
Devon untuk memasuki 70th Gloucester Battalion. Tidak lama selepas
itu beliau ditukarkan ke "Recce Regiment" di
Newton Abbot dan akhirnya memasuki Reconnaissance Regiment
ke 80.
- Beliau dihantar untuk menjalani latihan kadet di Highland Fieldcraff
Centre, Scotland selama tiga bulan. Beliau juga pernah menjalani
latihan di Glencose Barrack dan kemudiannya dihantar pula ke Bovington
untuk ditumpangkan ke Royal Armed Car Regiment.
- Beliau berpeluang memasuki OCTU di Barmouth, Wales pada
bulan Disember 1944 menjalani latihan sebagai pegawai kadet.
- Menyertai Force 136 dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda
(Mei 1945)
- Beliau telah diserapkan ke dalam 'General List' dan
terus menjalani latihan payung terjun dan perisikan di Calcutta,
India.
- Beliau kemudiannya telah memimpin pasukan Gerila Melayu
apabila kumpulan Force 136 dimansuhkan setelah kekalahan Jepun.
- Menyertai British Military Administration (BMA) untuk
berkhidmat dengan tentera British (Oktober 1946)
- Memasuki Askar Melayu (1 Februari 1947) dan melapor diri
bagi menjalani latihan sebagai pegawai kadet. Beliau kemudiannya
ditauliahkan sebagai Leftenan dan ditugaskan ke Batalion Ke-2 Askar
Melayu.
- Ditugaskan pula sebagai juruiring kepada Sir Henry Gurney,
Pesuruhjaya Tinggi Malaya.
- Beliau dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Kapten (Februari
1951)
- Beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Mejar dan dihantar menjalani
kursus 'Senior Officer' di Devises-Wilthire (1955)
- Ditugaskan di Batalion Ke-6 dan Ke-7 Askar Melayu sebagai
Penolong Pegawai Memerintah (1958)
- Beliau dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel dan ditugaskan
menjadi Pegawai Memerintah Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu DiRaja.
Beliau merupakan Pegawai Memerintah Melayu yang pertama batalion
berkenaan (Julai 1958)
- Beliau dinaikkan pula ke pangkat Kolonel sewaktu berada
di Joint Services Staff College (Mei 1960)
- Beliau dinaikkan ke pangkat Brigadier dan ditugaskan menjadi
Pemerintah Briged Ke-2 (21 Jun 1960)
- Beliau ditugaskan di Kementerian Pertahanan sebagai 'Brigadier
of The Army' (Julai 1961)
- Beliau dinaikkan ke pangkat Mejar Jeneral dan dilantik
sebagai Ketua Turus Tentera Darat (1962)
Dengan persaraan Jeneral Tan Sri Rodney Moore sebagai Ketua Turus
Angkatan Tentera (KTAT), Tunku Osman dinaikkan ke pangkat Jeneral
dan dilantik sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera pada 1 Januari
1964. Beliau adalah anak Melayu yang pertama memegang jawatan tertinggi
dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tunku Osman bersara daripada
jawatannya pada 24 November 1969.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya beliau telah dianugerahkan
oleh kerajaan pingat dan darjah kebesaran iaitu 'Vietnam National
Order' (Second Class), 'Order of Distinguished Diplomatic
Services II' (Korea), 'Datu Sikatuna' (Filipina), 'Order
of Grand Tadj' (Iran), 'Star of Ethiophia Knight' (Ethiophia)
dan 'Grand Cross of the Exalted Order of The White Elephant'
(Thailand). Beliau juga telah dianugerahkan darjah kebesaran P.S.M
yang membawa kepada gelaran Tan Sri.
General Tunku Osman amat terkenal dengan pendiriannya yang tegas
dan berdisiplin serta amat disegani oleh semua lapisan tentera.
Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 19 April 1994 ketika berumur
75 tahun .
| |