| |
Tan Sri Prof. Dr Awang Had Salleh dilahirkan pada 24 Jun
1934 di Kampung Bagan Pulau Bentong, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Pulau Betung,
Balik Pulau, Pulau Pinang dan pendidikan menengah di Sekolah Melayu
Seberang Perak (L), Kedah. Pada tahun 1951, beliau meneruskan pengajiannya
di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak sehingga
tahun 1954 dan seterusnya di Maktab Bahasa Bukit Senyum, Johor bahru
pada tahun 1958. Beliau telah melanjutkan pengajiannya di Universiti
Malaya pada tahun 1961 dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera
(Kepujian) pada tahun 1964 dan Ijazah Sarjana Pendidikan pada tahun
1967. Beliau telah menyambung pengajiannya di peringkat ijazah Kedoktoran
dalam bidang Pendidikan dan Sosiologi di Universiti Stanford, California
pada tahun 1969 dan Pengajian Pengurusan Akademik dan Pembangunan
di Universiti Lancaster, United Kingdom.
Kerjaya :
- Guru pelatih di Sekolah Melayu Gunung, Kedah (1950)
- Guru di Sekolah Melayu Derga, Kedah
- Guru Bahasa Kebangsaan di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star, Kedah(1957)
- Penolong Pensyarah di Pusat Latihan Harian (DTC), Alor Star, Kedah(1959-1961)
- Pensyarah Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai, Kuala
Lumpur (1964-1965)
- Penolong Pensyarah/ Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti
Malaya(1974-1975)
- Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya
(1975-1978)
- Pengarah Institut Teknologi Mara sekarang Universiti Institut
Teknologi Mara (UiTM) (1978-1980)
- Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan Naib Canselor
Pertama Universiti Utara Malaysia (1980-1984)
- Penasihat Khas Kementerian Pendidikan
- Ketua Eksekutif/ Perunding Akademi Filem Malaysia (1990-1992)
- Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan
- Ahli Lembaga Eksekutif Unesco
- Pengerusi Lembaga Tadbir Institut Teknologi Kreatif Limkokwing
- Penasihat Kehormat Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN)
- Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan
Idris (UPSI)
- Pengerusi Penasihat Akademik Informatics Malaysia
- Pengerusi Entertainment Village (M) Sdn. Bhd.(E-Village)
- Pro Canselor UPSI (1999 hingga sekarang)
 |
 |
Selain terkenal dan aktif di dalam bidang akademik, beliau juga
banyak menghasilkan karya kreatif. Tahun 1966 merupakan tahun yang
cukup penting dalam penulisannya apabila dua buah karyanya, 'Merah
Kuning Biru' (kumpulan cerpen) dan 'Biru Warna' (novel) diterbitkan.
Dramanya 'Buat Menyapu Si Air Mata' telah diterbitkan pada tahun
1975. Dalam bidang penerbitan dan penulisan, beliau menghasilkan
banyak buku, risalah dan kertas kerja yang berhubung dengan bidang
pendidikan, bahasa dan kebudayaan.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dikurniakan
pingat dan darjah kebesaran iaitu Johan Mangku Negara (J.M.N.) pada
1975, Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K.) pada 1978 yang membawa
gelaran Dato' dan Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) pada 1982 yang
membawa gelaran Tan Sri oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan
Agong. Bagi menghargai sumbangan beliau di dalam bidang pendidikan,
beliau telah dianugerahi 'Honarary Fellow', A.B.E. (UK) pada
tahun 1983, Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti
Brock, Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan
Malaysia dan Profesor Emeritus dari Universiti Utara Malaysia. Beliau
juga dianugerahi "Distinguished Fellow of ISIS"
Malaysia.
| |