|
Tan Sri Senu b. Abdul Rahman dilahirkan pada
10 Oktober 1919 di Jitra, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di
Sekolah Melayu Jitra pada tahun 1927. Beliau melanjutkan pelajaran
di Maktab Perguruan Tanjung Malim (Maktab Perguruan Sultan Idris)
pada tahun 1937 dan seterusnya melanjutkan pelajaran dalam bidang
Sains Politik di Universiti of California, Los Angeles (UCLA) pada
tahun 1948 dan memperolehi Ijazah Sarjana Sastera (Sains Politik)
pada 1954.
Kerjaya :
- Guru di Sekolah Sungai Korok Tinggi, Alor Star (1939-1941)
- Pegawai di Jabatan Pelajaran (1942-1944)
- Mempunyai pengalaman bekerja dengan Kedutaan Indonesia di Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (1954)
- Duta Malaysia yang pertama ke Indonesia (1957-1962)
- Duta Malaysia ke Jerman (1962)
- Pengarah Pilihanraya Parti Perikatan (1964)
- Menteri Penerangan dan Penyiaran yang pertama (1964)
Penglibatan politik :
- Menubuhkan SABERKAS bersama-sama rakan (1943)
- Setiausaha SABERKAS (1947-1948)
- Setiausaha Agung UMNO di samping Setiausaha Bersama Parti Perikatan
sehingga negara mencapai kemerdekaan tahun 1957.
- Ahli Parlimen bagi kawasan Kubang Pasu Barat, Kedah
- Setiausaha Agung UMNO (1968-1978)
- Ahli Parlimen kawasan Kuala Kedah/ Langkawi menggantikan tempat
YTM Tunku Abdul Rahman (1973)
- Ahli parlimen kawasan Kuala Kedah (1974-1982)
Tan Sri Senu pernah bekerja di Jabatan Penerangan
Jepun sebagai pelukis semasa zaman pemerintahan Jepun. Semasa zaman
pemerintahan Siam (Thai) pula, beliau pernah bekerja di Jabatan
Pelajaran, Kedah. Beliau juga berbakat dalam bidang penerbitan drama
di mana beliau pernah menjadi produser semasa zaman pemerintahan
Jepun dan Siam. Antara cerita yang dihasilkan ialah 'Aku Berdosa'
dan 'Salah Pedoman'. Beliau juga terlibat dalam menyediakan satu
dokumen yang berjudul 'Dasar Perjuangan UMNO' pada tahun 1956. Pada
tahun 1960 an beliau dan rakan-rakanya bersama-sama menyusun buku
yang bertajuk 'Revolusi Mental', yang mengandungi fikiran ahli politik
sebagai panduan kepada orang Melayu dalam usaha mengubah dan meningkatkan
pemikiran bagi mencapai kemajuan yang lebih tinggi.
Bagi menghargai dan sumbangan dan jasa baktinya,
beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran antaranya
Bintang Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) pada tahun 1973
dan Panglima Mangku Negara (P.M.N) pada tahun 1988 oleh DYMM Yang
di Pertuan Agong.
|