| |
 |
|
Dato' Zakiah Hanum dilahirkan pada 15 September 1937
di Jalan Langgar, Alor Star, Kedah. Beliau mendapat pendidikan
awal di Kampong Baru Girl's School dan kini dikenali sebagai Sekolah
Sultanah Asma, Alor Star bermula dari tahun 1947 hingga tahun 1955.
Kemudian pada tahun 1956, beliau melanjutkan pelajaran menengahnya
di Methodist Boys School, Pulau Pinang sehingga tahun 1957 iaitu
sehingga tamat tingkatan enam. Setelah tamat persekolahan, beliau
mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada
tahun 1957 dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan pengkhususan
dalam bidang Pengajian Melayu pada tahun 1961. Tamat pengajiannya
di Universiti Malaya, beliau mula bertugas di jabatan kerajaan sebagai
Penolong Penyimpan Arkib di Arkib Negara pada tahun 1961. Ketika
itu, beliau berusia 23 tahun. Pada tahun 1962, beliau dihantar ke
Arkib Negara, New Delhi, India untuk menyambung pengajiannya di
dalam bidang Pentadbiran Arkib dan beliau telah dianugerahkan Diploma
Pentadbiran Arkib.
Kerjaya :
- Penolong Penyimpan Arkib di Arkib Negara (1961)
- Ketua Bahagian Arkib (1961-1970)
- Timbalan Pengarah Arkib Negara dan memegang jawatan tersebut
sehingga tahun 1977
- Pemangku Pengarah Arkib Negara (1977-1980)
- Ketua Pengarah Arkib Negara yang pertama ketika beliau
berusia 40 tahun
sekaligus menjadikan beliau sebagai wanita pertama mengetuai sebuah
Jabatan Persekutuan (1980-1995)
Sebagai pakar dalam bidang Arkib, Dato' Zakiah Hanum menumpukan
sepenuh tenaga, daya usaha dan kreativiti untuk memajukan Arkib
Negara setanding dengan institusi luar negara. Selaras perlantikannya
sebagai Ketua Pengarah, Arkib Negara Malaysia pelbagai perancangan,
idea dan program telah dilaksanakan antaranya Rancangan RTM, 'Hari
Ini Dalam Sejarah' adalah bermula ilhamnya. Ia mula di terbitkan
pada tahun 1980 dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil .
Bagi melengkapkan maklumat mengenai setiap sudut sejarah tanah
air, Dato' Zakiah Hanum mengilhamkan 'Pengkisahan Sejarah'. Pengkisah-pengkisah
atau tokoh-tokoh yang menyumbang sejarah negara dijemput menceritakan
pengalaman mereka. Antara tema siri pengkisahan sejarah merangkumi
Sejarah Pentadbiran Malaysia, Wanita Dalam Sejarah Malaysia, Sejarah
Angkatan Tentera dan peristiwa penting sejarah tanahair. Arkib Negara
Malaysia telah menjadi perintis kepada Pengkisahan Sejarah diperingkat
antarabangsa. Terbentuknya Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tunku
Abdul Rahman, Pustaka Peringatan P. Ramlee dan Memorial Pengisytiharan
Kemerdekaan di Melaka adalah hasil ilham Dato' Zakiah Hanum untuk
mengingati, mendokumentasikan serta mempamerkan kepada umum sumbangan
tokoh dan pemimpin negara.
Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional
:
- Majlis Arkib Antarabangsa (ICA) mengiktiraf kepakarannya
di dalam bidang Arkib. Hingga kini beliau berjaya mengekalkan kedudukan
Malaysia sebagai Ibu Pejabat dan Urusetia Majlis Arkib Antarabangsa
Cawangan Wilayah Asia Tenggara (Serbica).
- Pengerusi 'Association of Commonwealth Archivist and Record
Managers' (ACARM) yang berpusat di London dan menjadi orang
yang pertama dari rantau Asia mengetuai persatuan ini mulai 1988.
- Pengerusi Majlis Arkib Antarabangsa Cawangan Wilayah Asia
Tenggara pada tahun 1990 sehingga 1993
- Penyunting kehormat Jurnal Sejarah Lisan Antarabangsa yang
diterbitkan di Amerika Syarikat
- Ahli Indian Record Commission yang bertempat di New Delhi
dari tahun 1986 hingga 1989.
- Ketua Satu Pertiwi.
Antara buku yang dihasilkan oleh beliau ialah Sembang Mak Alang
(1986), Tercabarnya Maruah Bangsa (1987), Tradisi dan Budaya (1987),
Asal-usul Negeri-negeri Di Malaysia (1989), Senda Sindir Sengat
(1990), buku-buku masakan seperti MasakanTradisional Utara (1991),
Kuih-muih Utara (1992), 'Family Delights of the North' (1993),
'Northern Traditional Cuisine and Northern Cookies', 'Biscuits'
dan lain-lain. Menerusi Pertiwi, antara projek yang dijalankan ialah
menerbitkan buku iaitu Biografi Wanita Malaysia, Wanita Seiring
Jalan (Pandangan Tun Abd Razak) dan Bingkisan Pertiwi. Manakala
skrip drama yang pernah dihasilkan antaranya Bahang (1988) dan lain-lain
termasuk drama pentas. Selain itu, beliau turut menulis artikel-artikel
menerusi akhbar, majalah tempatan dan luar negeri mengenai hal-hal
berkaitan dengan profesion arkib, hal-hal sejarah dan kemasyarakatan.
Setelah bersara dari Arkib Negara, beliau menjalankan perniagaan
disamping terus berkhidmat melalui kegiatan sukarela.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dikurniakan
pingat Johan Setia Mahkota (J.S.M) pada Jun 1976, Johan Mahkota
Selangor (S.M.S) pada 8 Mac 1981 dan Darjah Kebesaran Dato' Setia
DiRaja Kedah (D.S.D.K) dengan gelaran Dato' pada 22 Januari 1989.
Manakala anugerah yang diperolehinya diperingkat antarabangsa ialah
anugerah Ramon Magsaysay 1989 untuk perkhidmatan kerajaan
dan beliau merupakan wanita Malaysia pertama menerima anugerah tersebut.
| |