| |
Yang Amat Arif Dato' Syeikh Ghazali Bin Haji
Abdul Rahman telah dilahirkan pada 31 Disember 1938 di Kampung Kepala
Bukit, Tobiar, Pendang, Kedah. Beliau merupakan seorang yang berpengetahuan
dan berpengalaman luas di dalam bidang Perundangan dan Kehakiman.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu
Tobiar, Pendang pada tahun 1946 hingga 1951 dan di peringkat menengah
di Maktab Mahmud, Alor Star, Kedah pada tahun 1951 hingga 1961.
Hasil daripada kesungguhan dan kegigihan, beliau telah berjaya melanjutkan
pelajarannya ke Universiti Al-Azhar di Kaherah di dalam bidang Perundangan
Islam pada peringkat Sarjana Muda dan kemudiannya turut memperolehi
Diploma Perguruan dari Universiti Ain Sham, Kaherah, Mesir. Beliau
juga turut memperolehi Diploma Undang-Undang Pentadbiran Kehakiman
dari Universiti Islam Antarabangsa dan merupakan kumpulan pertama
yang memperolehi Diploma tersebut.
Kerjaya :
- Guru agama dan bahasa Arab di Maktab Mahmud, Alor Star (15 Jun 1969)
- Kadi Daerah Kota Setar (1971- 1972)
- Kadi Daerah Padang Terap (1972 -1977)
- Ketua Pegawai Penerangan Agama Negeri Kedah merangkap Setiausaha Baitulmal Negeri Kedah (1979 - 1980)
- Ahli Jawatankuasa Mengkaji dan Menggubal Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah
- Kadi Besar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1 September 1980)
- Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (1 Disember 1998- kini)
Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional:
- Ahli Panel Rayuan Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, Negeri Sembilan,
Pahang, Perak, Terengganu, Johor dan Pulau Pinang
- Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
- Ahli Majlis Pengawasan Syariah Syarikat Takaful Malaysia
- Pengerusi Jawatankuasa Menggubal Kurikulum Latihan Pegawai Syariah
Malaysia
- Ahli Lembaga Pengawasan Syariah
- Accounting and Audition Organization Islamic Financial Institution
(AAOIF)
Dato' Syeikh Ghazali juga aktif di dalam pembentangan
kertas kerja yang berkaitan dengan perundangan pada kursus, seminar
dan simposium di peringkat negeri dan kebangsaan. Sehingga kini
telah lebih 40 tajuk telah dibentangkan oleh beliau di beberapa
buah negeri seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang, perak, Negeri Sembilan,
Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Sabah.
Berdasarkan kepada sumbangan yang ditunjukkan
kepada masyarakat, bangsa dan negara lebih-lebih lagi dalam bidang
keagamaan, pihak kerajaan telah menganugerahkan beberapa darjah
kebesaran iaitu A.M.N (1984), S.D.K (1991) dan D.S.D.K (1995) yang
membawa gelaran Dato'. Pada tahun 1995, Dato' Syeikh Ghazali B.
Hj. Abdul Rahman telah dianugerahi Tokoh Ma'al Hijrah peringkat
Wilayah Persekutuan kerana sumbangan dan kecemerlangannya dalam
bidang Perundangan Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.
|
|