| |
Tan Sri Syed Mokhtar Shah Bin Syed Nor Al-Bukhary
merupakan tokoh yang semakin menyinar dalam bidang korporat di Malaysia.
Beliau kini berusia 51 tahun dan memulakan kerjayanya di Johor pada
awal tahun 90-an. Beliau mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan
sebagai pemborong beras dan kini beliau merupakan seorang tokoh korporat
bumiputera yang disegani dan berjaya di dalam sektor perladangan,
pembangunan hartanah, pembinaan, kejuruteraan, janakuasa, infrastruktur
dan pelabuhan.
Beliau merupakan simbol anak Melayu yang berkebolehan
di dalam bidang perniagaan (korporat) yang dapat memimpin beberapa
konglomerat besar. Kejayaannya dapat dilihat dengan penguasaan sebanyak
90 peratus ke atas Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd pada tahun
1993. Beliau juga telah berjaya mendapat satu projek mega apabila
Seaport diberi penyerahan selama 30 tahun untuk membina Pelabuhan
Tanjung Pelepas (PTP). Seaport memiliki 60 peratus daripada projek
Pelabuhan Tanjung Pelepas dan menjadikan beliau sebagai pemegang
saham yang terbesar. Beliau telah mendapat pujian oleh kerajaan
kerana kejayaannya mengendalikan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP)
dimana beliau berjaya menguruskan pelabuhan tersebut menjadi satu
pelabuhan yang cergas di bahagian Selatan Semenanjung Malaysia.
PTP berjaya menarik minat syarikat perkapalan Taiwan Evergreen Marine
Corporation seperti yang diumumkan akan memindahkan seluruh operasi
kontenanya ke Johor daripada Singapura. Ia merupakan satu projek
yang akan memacu rencana kerajaan Malaysia untuk membangunkan negara
sebagai hak perkapalan yang termaju dirantau ini.
Selain daripada itu, beliau juga merupakan pemegang
saham di dalam Malaysia Mining Corporation (MMC) iaitu sebanyak
19.9% melalui syarikat miliknya iaitu Syarikat Impian Teladan Sdn.
Bhd. Secara persendirian, Tan Sri Syed Mokhtar juga memiliki SKS
Ventures Sdn. Bhd di mana beliau telah diberi tanggungjawab menjalankan
projek membina 2100MW tapak 'gas-fired' di Tanjung Bin, Johor.
Beliau juga mempunyai kepentingan di dalam PERNAS di mana Tan Sri
Syed Mokhtar memiliki 32% saham melalui syarikat Restu Jerneh. Beliau
juga turut memiliki kepentingan di dalam Fiamma Holdings Berhad
di mana terdapat 18.68% saham diperolehi melalui Syarikat Perdana
Padu Sdn. Bhd dan Corak Kukuh Sdn. Bhd miliknya. Tan Sri Syed Mokhtar
juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Bina Puri Holdings
Berhad di mana beliau merupakan pemegang saham secara individu sebanyak
7.34%. Selain daripada itu, Tan Sri Syed Mokhtar juga mempunyai
kepentingan di dalam lain-lain syarikat-syarikat tempatan dan asing
di Malaysia.
Terdapat satu lagi projek yang akan menaikkan
nama beliau di peringkat antarabangsa iaitu projek Muzium Kesenian
Islam di Kuala Lumpur yang mana cadangan penubuhan muzium tersebut
adalah daripada Perdana Menteri sendiri. Tan Sri Syed Mokhtar juga
bertanggungjawab dengan kemasukan pusat membeli-belah Harrods yang
terkenal di London ke Malaysia menerusi syarikatnya, Amtek Holdings
Bhd. Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai peranan yang penting dalam Yayasan
Al - Bukhary iaitu syarikat milik keluarga dimana beliau bertindak
sebagai Pengerusi Eksekutif. Menerusi Yayasan Al - Bukhary, beliau
telah banyak memberi sumbangan dalam kerja-kerja berkaitan dengan
kebajikan sosial Islam dan pembinaan Masjid Al -Bukhary di negeri
Kedah.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya,
beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran antaranya
Panglima Setia Mahkota (P.S.M) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang
Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri dan Dato' Setia mahkota
Kedah (D.S.D.K) oleh KDYMM Sultan Kedah yang membawa gelaran Dato'.
|
|