Anda di sini:

Dato' Haji Rahmat Ismail


 

Dato' Haji Rahmat Ismail dilahirkan pada 10 Disember 1929 di Hutan Kampung, Kepala Batas Alor Star. Menerima pendidikan di Sekolah Melayu Kuala Nerang.

Beliau memulakan kerjayanya dengan menyertai Angkatan Tentera Malaysia. Seterusnya beliau menceburkan diri di dalam bidang perniagaan sekitar tahun 1971 semasa beliau masih lagi di dalam angkatan tentera. Beliau bermula dengan membuka sebuah warung kecil menjual makanan di dalam Kem Lok Kawi . Selepas bersara dari Angkatan Tentera, beliau terus bergiat aktif di dalam bidang perniagaan secara serius setelah berkhidmat 21 tahun dalam Pasukan Tentera British dan Angkatan Tentera Malaysia.

Nama beliau sudah tidak asing lagi di kalangan para peniaga di bandar Kota Kinabalu terutamanya peniaga di kedai-kedai buku di seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei. Beliau merupakan pemilik Syarikat Rahmat Trading (SRT) yang merupakan syarikat terbesar di Sabah yang mengendalikan perniagaan akhbar dan majalah dari Semenanjung Malaysia. Pada tahun 1982, beliau telah menubuhkan sebuah syarikat kawalan keselamatan yang dinamakan SRT Security Guards Sdn. Bhd. Pada tahun 1992, SRT Security Guards telah bergabung dengan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) dan dinamakan SRT-EON Security Services Sdn. Bhd. Beliau juga merupakan pemilik Rahmat Publishing Sdn. Bhd yang bertanggungjawab menerbitkan buku-buku bacaan umum dan sebuah majalah berbahasa Inggeris yang dikhususkan pada keselamatan dan kawalan iaitu 'Safety & Security Journal'. Majalah yang diterbitkan tiga bulan sekali itu mula diterbitkan pada tahun 1990 dan diedarkan di seluruh negara dalam ASEAN. Selain daripada berkecimpung di dalam bidang penerbitan dan kawalan keselamatan, beliau juga telah menubuhkan SRT Travel & Tours Sdn. Bhd dan Sri Rahmat Restoran. Beliau juga merupakan Pengarah Eksekutif SRT Holdings Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat yang didukung oleh keluarga beliau sendiri.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya terhadap negara, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran antaranya Pingat Pangkuan Negara (PPN), Bintang Kinabalu (BK), Darjah Johan Negeri (DJN), Kesatria Mangku Negara (KMN), Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) dan Dato' Setia DiRaja Kedah (DSDK). Semangat waja dan sifat-sifat murni yang ada di dalam diri beliau melayakkan Dato' Haji Rahmat sebagai tokoh masyarakat, pakar ekonomi atau pemimpin negara sekalipun beliau tidak berpeluang menimba ilmu ke peringkat tinggi dalam waktu remaja beliau.

 

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.