Anda di sini:

Datuk Dr. Ismail Bin Ibrahim

 

Datuk Dr. Ismail Ibrahim dilahirkan di Kampung Sidam, Kuala Muda Kedah pada tahun 1939 dan kini berusia 64 tahun. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Maktab Mahmud Alor Star, Kedah. Beliau berkelulusan pengajian agama dari Kolej Islam Malaya. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana dalam bahasa Arab dari Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1967 dan mendapat Ph.D dari Universiti St.Andrew, Scotland. Beliau merupakan salah seorang pelajar pertama yang menerima biasiswa Kerajaan Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar pada tahun 1962.

Kerjaya:

  • Bekas guru agama di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani dan Aminuddin Baki Kuala Lumpur
  • Penolong Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
  • Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1970an-1982)
  • Pengarah Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa (1991)
  • Presiden Pertama Majlis Ulama Malaysia
  • Ahli Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam
  • Juru perunding penubuhan IKIM di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS)
  • Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
  • Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.

Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional:

  • Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia - Magribi
  • Ahli Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn-Rusyd, Sepanyol

Sepanjang usianya, beliau telah menyumbangkan khidmat dan jasa kepada kemajuan Islam di negara ini dan kejayaannya yang diraih sebagai ahli akademik dan tokoh yang disegani. Datuk Dr. Ismail bukan sahaja dikenali di negara ini tetapi dihormati khususnya di negara-negara Islam. Beliau telah banyak membawa kejayaan kepada IKIM dan yang terbaru, memperolehi lesen daripada kerajaan bagi membolehkan institut itu memulakan siaran radionya sendiri.

Beliau juga merupakan kolumnis dalam akhbar Utusan Malaysia pada setiap Khamis bagi membincangkan isu-isu semasa Islam. Sebanyak 75 artikel yang tersiar dalam ruangan tersebut telah dimuatkan dalam buku yang bertajuk 'Isu-isu semasa dari perspektif Islam'. Antara hasil karya beliau yang lain ialah 'Islam dan Pemindahan Organ', 'Penerapan Islam dalam Pentadbiran Awam' serta 'llmu dan Kecemerlangan dari Perspektif Islam'.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 2001 iaitu anugerah yang telah diwujudkan oleh kerajaan untuk mengiktiraf sumbangan Tokoh-tokoh Islam di Malaysia.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.