Anda di sini:

Dato' Dr. Adi Bin Haji Taha

 

Dato' Dr. Adi dilahirkan di Kampung Hutan Palas, Kodiang, Jitra, Kedah pada 3 Ogos 1951. Selain mendapat didikan dari ayahnya yang juga seorang pendidik, beliau dihantar ke Sekolah Rendah Tunku Bendahara, Kodiang pada tahun 1958 hingga tahun 1963. Beliau juga merupakan bekas penuntut Derma English School, Kangar, Perlis pada tahun 1964 sehingga tahun 1968. Pada tahun 1969, beliau menyambung persekolahannya di Sekolah Datuk Abdul Razak, Tanjung Malim, Perak sehingga tahun 1970. Setelah mendapat keputusan yang cemerlang, beliau ditawarkan memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Antropologi dan Sosiologi pada tahun 1975. Walaupun telah bekerja, minat beliau untuk menguasai ilmu tidak berhenti setakat itu sahaja. Beliau kemudiannya mendaftarkan diri di Australian National University, Canberra dan pada tahun 1981, beliau memperolehi Ijazah Sarjana. Beliau juga mendapat anugerah Doktor Falsafah dari universiti yang sama pada tahun 2001.

Kerjaya :

  • Kurator Arkeologi (1975-1983)
  • Senior Kurator Untuk Pameran (1983-1986)
  • Ketua Bahagian Penyelidikan (1986-1991)
  • Pengarah Bahagian Antikuiti (1991-1998)
  • Pengarah Pengurusan Muzium (1998-2000)
  • Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti (2001-2002)
  • Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti (2002).

Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional :

  • Naib Presiden Persatuan Arkeologis Malaysia (1997)
  • Presiden Persatuan Prasejarah Indo-Pasifik (2002-2004).

Bagi mengenang segala jasa dan bakti beliau sepanjang perkhidmatannya, Dato' Dr. Adi telah dianugerahkan Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K.), Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (D.P.S.K.), Darjah Setia Mahkota Perlis (S.M.P.), Darjah Ahli Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang Kelas V (A.S.K.) dan Bintang Cemerlang Kedah (B.C.K.). Beliau juga pernah mendapat anugerah U.S.S.R. Cultural Exchange Programme serta Australian Cultural Award dari Ministry of Foreign Affairs.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.