Anda di sini:

Dato' Profesor Dr. Siti Hawa Salleh

 

Dato' Profesor Dr. Siti Hawa Salleh dilahirkan pada 1 Mei 1940, di Tandop, Alor Star, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Langgar, Kedah pada tahun 1947 dan di Sekolah Melayu Simpang Empat pada tahun 1950. Pada tahun 1952, beliau menyambung pendidikan menengahnya di Kampung Baru Girl's School atau kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sultanah Asma. Beliau melanjutkan pelajaran sehingga ke tingkatan enam di Kolej Sultan Abdul Hamid pada tahun 1959. Kemudiannya, beliau telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya pada tahun 1961 dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Melayu pada tahun 1964.

Puncak kejayaan dalam dunia akademiknya ialah apabila dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kesusasteraan Melayu Tradisional dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1994 setelah menyelesaikan sebuah disertasi berjudul "Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas : Sejarah Pengkajian dan Sifatnya" dan perlantikan sebagai Profesor Kesusasteraan Melayu Tradisional oleh universiti yang sama.

Kerjaya :

  • Guru sementara di Sekolah Menengah Sultanah Asma (1961-1963)
  • Penterjemah sementara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (1964)
  • Tutor di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (Jun 1964- Jun 1966)
  • Pensyarah, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (1966-1971)
  • Timbalan Pengarah, Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM (Mac 1975-Jun 1977)
  • Profesor Madya, Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM (1975-1994)
  • Ketua di Jabatan Persuratan Melayu, F.S.K.K., Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)(1981-1989)
  • Felo Penyelidikan di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (Disember 1989 - Disember 1992)
  • Profesor Kesusasteraan Melayu Tradisional, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1994)
  • Timbalan Pengarah, Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)(Jun 1994-Jun 1996)
  • Profesor Kontrak di Jabatan Persuratan Melayu, F.S.K.K., Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1995-2002)
  • Pengajar Khas di Jabatan Persuratan Melayu, F.S.K.K., Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)(Mei 2002 - Mei 2003)
  • Pensyarah Jemputan untuk kursus Kesusasteraan Melayu, Universiti Malaysia Sabah (1996-1997)
  • Penilai Luar di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan, Universiti Brunei Darussalam (2000-2002)
  • Timbalan Pengarah Institut Alam Tamadun Malaysia (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional :

  • Jawatankuasa Istilah Kesusasteraan, Bahagian Istilah, Dewan bahasa dan Pustaka ( 1966-1971)
  • Panel Anugerah Sastera Negara Malaysia (1971-1973)
  • Jawatankuasa katalog manuskrip Melayu, DBP - PNM (1982-1985)
  • Jawatankuasa Pakar Perunding Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Bahagian Ensiklopedia , DBP (1989-1996)
  • Sidang Pengarang SARI, IBKKM, UKM (1992-1995)
  • Sidang Pengarang Jurnal Fiologi Melayu terbitan Pusat Manuskrip Melayu, PNM (1991 - kini )
  • Sidang Pengarang Malay Literature Journal terbitan DBP (1993 - kini )

Dr. Siti Hawa telah menghasilkan beberapa buah karya yang bermutu, antaranya ialah Hikayat Merong Mahawangsa (1971 dan 1990), Hikayat Gul Bakawali (1986), Cendekia, Kesusasteraan Melayu Tradisional (Penyelenggara 1997), Sebutir Pasir yang mengumpulkan 12 makalah dan kertas kerja tentang pelbagai aspek kesusasteraan Melayu tradisional (1992) dan sebagainya.

Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K.) oleh KDYMM Sultan Kedah, Ahli Mahkota Kedah (A.M.K), Hadiah Sastera Malaysia untuk bidang makalah ilmiah 1988/1989 - Hikayat Merong Mahawangsa : Antara Mitos dan Realiti, Anugerah Dermacipta DBP untuk penyelidikan Doktor Falsafah, Hadiah Bahasa untuk Buku Ilmu Pengajian Tinggi - Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas anjuran Persatuan Linguistik Malaysia & Public Bank dan Anugerah Khidmat 20 tahun di UKM.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.