| |
Tan Sri Dato' Profesor Dr. Ismail b. Hussein dilahirkan
di Kampung Simpang Empat, Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah pada 30 Januari
1932. Beliau merupakan seorang cendekiawan dan tokoh besar sastera
dan budaya Melayu yang tidak jemu-jemu berusaha dan berjuang ke arah
mengagungkan sastera dan budaya Melayu malah beliau turut dikenali
di peringkat dunia kesusasteraan antarabangsa.
Tan Sri Dato' Profesor Dr. Ismail Hussein menerima
pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Limau Dalam dan selepas
perang Dunia Kedua, beliau telah menyambung pelajarannya di Sekolah
St. Micheal sebelum berpindah ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor
Star. Pada tahun 1955 beliau melangkah kaki ke Universiti Malaya
dalam jurusan pengajian Melayu dan dianugerahi Ijazah Sarjana Muda
Sastera dengan Kepujian Kelas Pertama pada tahun 1959. Beliau merupakan
anak Melayu pertama mendapat Sarjana Muda Pengajian Melayu Kelas
Pertama dari Universiti Malaya. Pada tahun 1961, beliau memperolehi
Sarjana Sastera dan mendapat Ijazah Doctorandus dari Universiti
Leiden, Belanda.
Kerjaya :
- Pensyarah Universiti Malaya (1960)
- Profesor Kesusasteraan Melayu di Universiti Malaya (1971)
- Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya
- Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya (1978 - 1984)
- Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu,
Universiti Kebangsaan Malaysia (1987)
- Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA)
- Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka
(1965)
- Pengarah Eksekutif Yayasan Sekretariat Melayu Antarabangsa (1996)
Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional
:
- Panel Anugerah Sastera Negara
- Ahli Lembaga Majlis Penasihat Kebangsaan berkenaan kebudayaan
- Jawatankuasa Penyelarasan Perlaksanaan Bahasa Kebangsaan
- Jawatankuasa Penasihat Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara
Malaysia dan Yayasan Karyawan.
Hasil tulisan beliau antaranya ialah Kepimpinan dan
Kebudayaan (1984), Cita-cita dan Perjuangan (1987), Segugus Pandangan
dan Harapan (1988), Inti Perutusan (1988), Antara Dunia Melayu dengan
Dunia Indonesia (1988), Antara politik dan Sastera (1989), Indeks
Akhbar (1989), 'Statements on Malay Language and Literature' (1989),
Tamadun Melayu (1989), Jejak Langkah Ismail Hussein (1993), Pengajian
Melayu di Dunia Melayu (1994), Dunia Melayu dan Dunia Indochina
(1995) dan Bahasa Melayu di Dunia Melayu (1995). Beliau terus menjadi
tempat rujukan di dalam bidang ilmiah dan berjuang menjadi pendeta,
pembela dan penggerak bagi golongan penulis tanah air.
|
 |
Walaupun telah lama bersara daripada tugas akademik,
beliau masih bergiat cergas di dalam GAPENA. Kejayaan yang ditempa
oleh GAPENA di dalam mendaulatkan bahasa, sastera, budaya dan bangsa
Melayu memaparkan kejayaan perjuangan dan impian beliau secara peribadi
dan kelompoknya hingga ke peringkat antarabangsa. Semangat cintakan
seni, sastera dan budaya Melayu yang wujud di dalam diri beliau
sejak kecil lagi menyatakan kedudukan beliau dalam pemikiran dan
perasaan manusia Melayu begitu istimewa sebagai Bapa Sastera Melayu.
Tan Sri Dato' Profesor Dr. Ismail Hussein telah
dianugerahkan Dato' Setia Diraja Kedah (D.S.D.K.) oleh KDYMM Sultan
Kedah pada tahun 1980 yang membawa gelaran Dato'. Pada tahun 1984,
beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Honoris Causa dari Universitas
Indonesia dan gelaran Pendeta pada Simposium Dunia Melayu di Sri
Langka pada tahun 1985. Pada tahun 1993, beliau telah dianugerah
Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri
oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Pada tahun
1997, beliau telah dianugerahkan Profesor Emeritus daripada Universiti
Malaya.
|
|