Anda di sini:

Dato' Haji Muhammad Ismail Bin Saleh

 

Dato' Haji Muhammad Ismail bin Haji Saleh dilahirkan pada 16 Ogos 1936 di Tandop, Alor Star, Kedah. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Tandop, Sekolah Melayu Sungai Korok Lama, Sekolah Melayu Kanchut dan Sekolah Melayu Langgar. Kemudian beliau meneruskan pengajian menengahnya di Kolej Sultan Abdul Hamid pada tahun 1948 sehingga tahun 1954 dan lulus Senior Cambridge. Selepas itu, beliau menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi di Maktab Perguruan Kirkby, England pada tahun 1955 sehingga tahun 1957 dan University of London pada tahun 1981.

Kerjaya:

  • Guru Sek. Ren. Sultan Ahmad Tajuddin
  • Guru Sek. Ren. Jitra
  • Sek. Ren. Iskandar,Alor Star
  • Sek. Men. Keat Hwa. Alor Star
  • Sek. Men. Sultan Abdul Halim, Jitra (1958 - 1966)
  • Pengetua Sek. Men. Tunku Abdul Malik (1966 - 1971)
  • Penyelia Sekolah-sekolah Kedah,Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (1971)
  • Ketua Penolong Pengarah, Sekolah-sekolah Rendah Kedah (1971)
  • Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Kedah (1966 - 1993)
  • Pensyarah Bahasa Melayu, INSANIAH (1999 - 2000)
  • Pegawai Penyelidik Muzium Negeri (1991 - 1993)
  • Editor Suara Pesara Persatuan Pesara Kedah 2000
  • Pensyarah Sains Perpustakaan Guru-guru, Pusat Latihan Daerah Negeri Kedah

Penglibatan politik:

  • Jawatankuasa Bahagian UMNO Kuala Kedah (1980 - 1982)

Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional :

  • Ahli Jawatankuasa Pengasas Perpustakaan Negeri Kedah
  • Ahli Lembaga Muzium Negeri Kedah
  • Ahli Jawatankuasa Koleksi Kedah, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah
  • Ahli Jawatankuasa Pengasas Sahabat Arkib Cawangan Kedah
  • Ahli Royal Asiatic Society Malaysian Branch
  • Ahli Majlis Kebudayaan Negeri Kedah
  • Timbalan Pengerusi Lembaga Balai Seni

Beliau juga terkenal sebagai tokoh dalam bidang sejarah. Beliau banyak menyumbangkan tenaga dan buah fikiran dalam perkembangan sejarah di negeri Kedah. Malah, beliau juga gemar mengumpul bahan-bahan sejarah Kedah dan melancong.Sehingga kini, beliau telah menyumbangkan sebanyak 90 artikel sejarah tempatan negeri Kedah yang pernah disiarkan dalam Warta Darul Aman, Berita Harian dan Watan. Beliau juga telah menghasilkan buku yang bertajuk 'Tak Sesungguh Seluang Melaut' dan beberapa buah buku yang tidak diterbitkan. Beliau telah berusaha mengumpulkan beberapa bahan sejarah seperti bulan piama, musuh bisik,laga kerbau, syair Sultan Maulana dan halu pulau agar tidak luput.

Menerusi tulisan-tulisan yang dihasilkan, beliau telah membuktikan bahawa Kedah adalah negeri yang terawal menerima kedatangan Islam.Dalam usaha mengumpul dan memelihara buku dan naskhah-naskhah sejarah, beliau telah menjalankan penyelidikan ke atas draf-draf surat Almarhum Sultan Badlishah dan menerbitkan sebuah buku 'The Sultan Was Not Alone' . Beliau sering diundang sebagai ahli panel,pembentang kertas kerja dan pengerusi majlis diskusi berkaitan sejarah dan budaya Kedah. Antara kertas-kertas kerja yang pernah beliau bentangkan ialah tentang kedatangan Islam di Kedah, Tunku Long Putera, pantun lama, kebudayaan orang Melayu di Kedah, masakan tradisional Kedah dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan sejarah dan kebudayaan negeri Kedah. Beliau menjadi pakar rujuk dan konsultan pensejarahan Kedah.

Di atas sumbangan dan jasa baktinya,beliau telah dikurniakan oleh kerajaan P.J.K., P.P.N., B.K.M., Tokoh Guru Kota Setar (1997), Tokoh Sejarah Negeri Kedah pada tahun 1999 dan Dato' Setia mahkota Kedah (D.S.D.K) oleh KDYMM Sultan Kedah yang membawa gelaran Dato'.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.