| |
Dato' Mursyid DiRaja Haji Abdul Rahman bin Haji
Abdullah dilahirkan pada tahun 1899 di Kampung Alor Ibus, Tebengau,
Alor Star, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal (ilmu al-Quran)
daripada bapa beliau sendiri iaitu Haji Abdullah. Kemudian, pada
tahun 1916 beliau meneruskan pelajaran menengahnya di Madrasah Al-Masyhur,
Pulau Pinang. Selepas itu, beliau meneruskan pengajiannya di Madrasah
Tuan Hussin Nasir, Teluk Nipah, Pantai Merdeka, Kedah selama tiga
tahun.
Pada tahun 1918, Haji Abdul Rahman telah berangkat
ke Mekah untuk menuntut ilmu di sana. Di Mekah, beliau mendapat
pendidikan secara umum dari beberapa tokoh guru agama terkenal seperti
Sheikh Othman Sarawak, Abdul Kadir Mendahiling, Sheikh Umar Bajunid,
Tuan Mufti Hambali, Sheikh Ali Maliki dan Sheikh Salleh Bikri. Selain
itu, beliau juga pernah menuntut daripada Tuan Guru Pak Da Ei (Pak
Muda Ismail) dan Pak Wan Daud yang mana kedua-duanya berasal dari
Pattani.
Kerjaya :
- Guru pondok dan madrasah
- Mendirikan Madrasah Kota Kuala Muda (1926)
- Membuka Madrasah Saadatul Daroin, Merbok, Kedah (1927)
- Yang DiPertua Ulama Kedah
- Ahli Jawatankuasa Tertinggi Ulama UMNO
- Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah
- Ahli Majlis Mengangkat Raja
Sebagai mengenang jasa dan sumbangannya, beliau
telah dianugerahkan Tokoh Guru Negeri Kedah pada tahun 1982. Beliau
turut dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran, antaranya Ahli
Mangku Negara (A.M.N.), Jaksa Pendamai (J.P.) dari DYMM Sultan Kedah,
gelaran Dato' Mursyid DiRaja dan kurniaan Pingat Pertabalan Duli
Yang Maha Mulia Sultan Kedah.  |
|