Anda di sini:

Sharifah Fatimah Syed Zubir

 

Sharifah Fatimah Syed Zubir telah dilahirkan di Alor Star, Kedah. Beliau menerima pendidikan awalnya juga di Alor Star. Selepas menamatkan persekolahannya, Sharifah Fatimah menyambung pengajiannya ke Institut Teknologi MARA pada tahun 1967 dengan mengambil jurusan Seni Lukis. Beliau menerima Diploma Seni Lukis pada tahun 1971 dan juga menerima hadiah Pelajar Terbaik Institut Teknologi Mara.

Selepas menamatkan pengajiannya di Institut Teknologi Mara, Sharifah Fatimah meneruskan pengajiannya ke peringkat Sarjana Muda di Reading University, England dari tahun 1973 hingga 1976. Pada tahun 1978, Sharifah Fatimah memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang seni lukis dari Pratt Institute, New York.

Beliau merupakan pelukis abstrak terkemuka tanahair dan merupakan pelukis angkatan 70an. Sehingga kini, beliau telah mengadakan sebanyak 16 kali pameran solo di samping terlibat dalam lebih seratus pameran berkumpulan, baik di dalam mahupun di luar negara.

Kerjaya:

  • Pensyarah di Institu Teknologi Mara
  • Kurator di Balai Seni Lukis Negara
  • Artis sepenuh masa(1990)
  • Memungut dana untuk pameran Seni Malaysia ke Luar Negara (1990)

Pameran:

  • Pameran solonya yang pertama telah diadakan di Alpha Gallery, Singapura (1972)
  • "Rupa Malaysia -A Decade of Art" di Brunei Gallery (London)
  • "Malaysian group Art Exhibition" di Cultural Foundation (Abu Dhabi)
  • Ariane Essor "Ocean" di Palais des Nation (Geneva)
  • "Light & Reflections" di Atrium Gallery (London) (1998-2000)

Sebanyak 60 buah karyanya telah menjadi koleksi awam, termasuk yang dimiliki oleh orang perseorangan dan institusi. Ini termasuklah koleksi tetap Balai Seni Lukis Negara, Muzium Negeri Pulau Pinang, United Overseas Bank Singapura, Bank Bumiputra Kuala Lumpur, Museum of Modern Art of New York, National Gallery of Fine Art Jordan, Bank Negara Malaysia dan Museum of Contemporary Art Dubrovnik Crotia.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni lukis, Sharifah Fatimah telah banyak kali memenangi hadiah atau diberi pengiktirafan. Pada tahun 1968, beliau telah dianugerahkan Merit Tertinggi Pertandingan Rekaan Batik , Balai Seni Lukis Negara. Seterusnya pada tahun 1971, beliau diumumkan sebagai penerima hadiah pelajar terbaik Institut Teknologi Mara. Ini diikuti dengan Hadiah Universiti daripada Reading University pada tahun 1976, Pratt Studio Scholar Award dari Pratt University pada tahun 1977, Hadiah Utama Salon Malaysia pada tahun 1979 dan Anugerah Young Contemporaries oleh Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1981 dan Fellowship British Council pada tahun 1987.

Album Foto

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.