| |
Mahmud Junit bin Derani atau lebih dikenali
dengan Mahmud June dilahirkan pada tanggal 20 haribulan Januari
1921 di Alor Ganu, Kg. Titi Gajah, Alor Star, Kedah. Beliau merupakan
pelakon veteran yang dikenali dan dihormati oleh masyarakat khususnya
anak seni. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi
Gajah, Alor Star, Kedah sehinggalah tamat darjah III di sekolah
tersebut. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Mahrom
binti Abdul Ghani yang mana merupakan seorang suri rumah. Hasil
perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan 6 orang cahaya mata
yang terdiri daripada 3 lelaki dan 3 perempuan.
Pengalaman :
- Memulakan kerjaya sebagai pelakon(1936)
- Menyertai kumpulan bangsawan Grand Nooran Opera, Seri Nooran
Opera, Rubis Opera, Royal Star Opera, United Opera, Grand Jubilee
Opera dan M.June Opera
- Berlakon filem tempatan pertamanya iaitu "Orang Licin ' arahan
L. Krishanan. (1957)
- Beraksi dalam lebih 40 judul filem popular antaranya ialah "Orang
Minyak", "Seri Mersing", "Jalak Lenteng", "Da Di Du", "Langit
Petang", "Raden Mas", "Hang Jebat", "Megat Terawis", "Nasib Do
Re Mi", "Siti Payung", "Abang 92", "Selubung", "Layar Lara"
dan banyak lagi.
Pada usia mudanya, Mahmud June sering diberi
watak yang bersifat bengis dan jahat. Namun, masa telah mengubah
segalanya di mana atas faktor usia, beliau hanya diberi watak sebagai
datuk dan juga watak-watak yang bersesuaian.
Ketika di era Studio Jalan Ampas di Singapura,
Dato' Mahmud June banyak berkongsi pengalaman dan berguru dengan
pelakon-pelakon terkemuka seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,
Nordin Ahmad, S. Kadarisman, Normadiah dan lain-lain lagi. Kesempatan
ini telah membantu beliau memantapkan lagi lakonan beliau.
Oleh kerana jasa dan bakat lakonan beliau yang
tinggi, beliau telah menerima beberapa anugerah. Antaranya Anugerah
Pelakon Terbaik dari Seniman pada tahun 1974, Aktor Pembantu Terbaik
di Festival Filem Malaysia Pertama pada tahun 1980, Anugerah Perdana
Cipta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada tahun 1982 dan juga Anugerah
Pelakon Veteran Terbaik pada tahun 1986.
Selain daripada itu, Dato' Mahmud juga turut
menerima anugerah Seniman Veteran dan Anugerah Khas Juri Di Festival
Malaysia ke-6 (FFM6). Bagi mengenang jasa beliau terhadap industri
filem tempatan, Dato' Mahmud June telah menerima beberapa pingat
kebesaran seperti Ahli Mangku Negara (1986), Ahli Mahkota Kedah
(1987) dan Dato' Setia DiRaja Kedah yang membawa gelaran Dato' oleh
Sultan Kedah pada tahun 2001. Pada tanggal 14 Februari 2002, Dato'
Mahmud June telah kembali ke Rahmatullah. 
|
|