Anda di sini:

Tan Sri Senu Bin Abdul Rahman

 

Tan Sri Senu b. Abdul Rahman dilahirkan pada 10 Oktober 1919 di Jitra, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jitra pada tahun 1927. Beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Tanjung Malim (Maktab Perguruan Sultan Idris) pada tahun 1937 dan seterusnya melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Politik di Universiti of California, Los Angeles (UCLA) pada tahun 1948 dan memperolehi Ijazah Sarjana Sastera (Sains Politik) pada 1954.

Kerjaya :

  • Guru di Sekolah Sungai Korok Tinggi, Alor Star (1939-1941)
  • Pegawai di Jabatan Pelajaran (1942-1944)
  • Mempunyai pengalaman bekerja dengan Kedutaan Indonesia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (1954)
  • Duta Malaysia yang pertama ke Indonesia (1957-1962)
  • Duta Malaysia ke Jerman (1962)
  • Pengarah Pilihanraya Parti Perikatan (1964)
  • Menteri Penerangan dan Penyiaran yang pertama (1964)

Penglibatan politik :

  • Menubuhkan SABERKAS bersama-sama rakan (1943)
  • Setiausaha SABERKAS (1947-1948)
  • Setiausaha Agung UMNO di samping Setiausaha Bersama Parti Perikatan sehingga negara mencapai kemerdekaan tahun 1957.
  • Ahli Parlimen bagi kawasan Kubang Pasu Barat, Kedah
  • Setiausaha Agung UMNO (1968-1978)
  • Ahli Parlimen kawasan Kuala Kedah/ Langkawi menggantikan tempat YTM Tunku Abdul Rahman (1973)
  • Ahli parlimen kawasan Kuala Kedah (1974-1982)

Tan Sri Senu pernah bekerja di Jabatan Penerangan Jepun sebagai pelukis semasa zaman pemerintahan Jepun. Semasa zaman pemerintahan Siam (Thai) pula, beliau pernah bekerja di Jabatan Pelajaran, Kedah. Beliau juga berbakat dalam bidang penerbitan drama di mana beliau pernah menjadi produser semasa zaman pemerintahan Jepun dan Siam. Antara cerita yang dihasilkan ialah 'Aku Berdosa' dan 'Salah Pedoman'. Beliau juga terlibat dalam menyediakan satu dokumen yang berjudul 'Dasar Perjuangan UMNO' pada tahun 1956. Pada tahun 1960 an beliau dan rakan-rakannya bersama-sama menyusun buku yang bertajuk 'Revolusi Mental', yang mengandungi fikiran ahli politik sebagai panduan kepada orang Melayu dalam usaha mengubah dan meningkatkan pemikiran bagi mencapai kemajuan yang lebih tinggi.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran antaranya Bintang Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) pada tahun 1973 dan Panglima Mangku Negara (P.M.N) pada tahun 1988 oleh DYMM Yang di Pertuan Agong.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.