Haji Mohamad Sheriff bin Osman merupakan seorang pentadbir
dan pemimpin yang lahir dari golongan orang kebanyakan di zaman
pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah yang pada masa itu dikuasai oleh
golongan-golongan bergelar seperti Tunku, Syed dan Wan. Beliau dilahirkan
pada 5 Ogos 1890 di Seberang Sungai Raja, Alor Setar. Mendapat pendidikan
sehingga darjah 7 di Sekolah Inggeris, Penang Free School.
Pada awal pembabitan beliau dalam pentadbiran, Haji
Mohamad Sheriff pernah dilantik memegang jawatan-jawatan utama dalam
Kerajaan Negeri Kedah antaranya sebagai penterjemah di Pejabat Penasihat
Inggeris Alor Setar pada tahun 1907, Penolong Setiausaha Majlis
Negeri Kedah pada tahun 1901, Kepala Pekerjaan Tanah pada tahun
1912, Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri pada tahun 1915 dan Setiausaha
Kerajaan Negeri Kedah pada tahun 1931 hingga tahun 1948. Beliau
telah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang pertama pada tahun
1948 hingga tahun 1954.
Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya yang cemerlang sebagai
Menteri Besar Kedah, beliau telah dikurniakan beberapa anugerah
antaranya ialah 'Award of Kedah Long Service Medal' oleh KDYMM Almarhum
Sultan Abdul Hamid, C.B.E dan C.M.G daripada Raja Inggeris di London
dan 'Kedah Order of Merit' (K.O.M) oleh KDYMM Almarhum Sultan Badlishah.
Haji Mohamad Sheriff kembali ke rahmatullah pada 27 September 1962
sewaktu berusia 72 tahun dan disemadikan di Perkuburan Akar Peluru
Alor Setar.
|