Tunku Ismail bin Tunku Yahaya dilahirkan pada 23 April
1907 di Kulim, Kedah dan berasal dari keluarga Di Raja Kedah. Beliau
mendapat pendidikan asas di sekolah Melayu dan Inggeris serta lulus
Senior Cambridge di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.
Tunku Ismail bin Tunku Yahaya pernah dilantik memegang beberapa
jawatan penting dalam pentadbiran negeri Kedah sebelum dilantik
sebagai Menteri besar Kedah. Tunku Ismail memulakan kerjaya dengan
menjawat jawatan sebagai Kadet Perkhidmatan Awam pada tahun 1926.
Antara jawatan lain yang pernah disandang ialah sebagai Penolong
Pegawai Tanah Kubang Pasu, Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Sik,
Ahli Majlis Perbadaran Kota Setar, Pegawai Tanah Kubang Pasu dan
Pegawai Daerah dan Tanah Langkawi. Seterusnya beliau pernah dilantik
sebagai "First Assistant Superintendent Monopolis and Customs
Alor Setar", Pegawai Daerah Kulim, Pegawai Daerah Kuala Muda,
Ketua Majistret Alor Setar dan 'Food Controller' Negeri Kedah.
Beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan
Negeri Kedah dan kemudian sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah
pada tahun 1948. Beliau memangku jawatan Menteri Besar Kedah dari
tahun 1949 hingga tahun 1951 dan seterusnya dilantik sebagai Menteri
Besar Kedah yang kedua dari tahun 1954 hingga tahun 1959
|