|
Tan Sri Syed Omar bin Syed Shahabuddin
dilahirkan pada 6 Julai 1902 di Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat
pendidikan awal di Sekolah Melayu Jalan Baru dan Government English
School yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor
Setar. Seterusnya beliau telah menyambung pelajarannya di Penang
Free School, Pulau Pinang. Beliau meneruskan pengajiannya di Hong
Kong University.
Selepas tamat pengajian, Tan Sri Syed Omar telah
bertugas sebagai Pegawai Tadbir Negeri di dalam Perkhidmatan Awam
Negeri Kedah bermula pada 12 Julai 1929. Antara jawatan lain yang
pernah disandang oleh beliau semasa berkhidmat dalam Perkhidmatan
Awam Kedah ialah Pegawai Daerah Kulim Bandar Baharu, Kubang Pasu
, Pegawai Kastam Negeri Kedah dan Pegawai Perbendaharaan (Kewangan)
Negeri Kedah. Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah dipertanggungjawabkan
mengurus berbagai-bagai jurusan pentadbiran negeri Kedah. Pada 17
November 1954, beliau telah bersara daripada berkhidmat dalam Perkhidmatan
Awam Kedah dan mula menceburi bidang politik.
Bakat kepimpinan yang terserlah pada dirinya menyebabkan
beliau diberi kepercayaan menjawat beberapa jawatan penting di Negeri
Kedah. Beliau pernah dilantik menjadi Ketua Perhubungan UMNO Negeri
Kedah, Ketua Perikatan Negeri Kedah, Pengerusi Kedah State Alliance,
Pengerusi Aminah English School dan Presiden UMNO Kedah. Seterusnya
pada tahun 1960, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Maktab Mahmud, Alor Setar sehingga tahun 1967.
 |
 |
Beliau telah dipilih bertanding di dalam pilihanraya
umum peringkat negeri untuk pertama kalinya pada tahun 1959 atas
tiket Parti Perikatan di kawasan Baling Barat. Beliau dilantik sebagai
Menteri Besar Kedah yang ketiga pada 24 Mei 1959 selepas memenangi
pilihanraya pada tahun 1959. Kepercayaan yang berterusan yang diberikan
oleh rakyat terhadap kepimpinan beliau menyebabkan sekali lagi Parti
Perikatan dapat membentuk kerajaan di Negeri Kedah menerusi kemenangan
pada Pilihanraya tahun 1964. Tan Sri Syed Omar telah berjaya mengetuai
Parti Perikatan setelah memenangi semua kerusi dalam Dewan Undangan
Negeri pada tahun 1964.
Tan Sri Syed Omar merupakan seorang pemimpin berjaya
semasa berkhidmat sebagai Menteri Besar Kedah dari tahun 1959 hingga
tahun 1967. Ini dapat diukur dari beberapa kemajuan dalam membangunkan
luar bandar yang serba mundur melalui beberapa projek yang diperkenal
dan dilaksanakan pada zamannya. Antaranya termasuklah pembahagian
tanah kepada rakyat, mengadakan kemudahan-kemudahan insfrastruktur
seperti jalan raya dan jambatan, perbekalan air, kesihatan, telefon,
eletrik di samping memajukan lagi bidang-bidang pertanian, ternakan,
pelajaran dan lain-lain. Sewaktu mentadbir Negeri Kedah, Tan Sri
Syed Omar telah melaksanakan projek Rancangan Pengairan Sungai Muda
yang menelan belanja lebih dari RM 200 juta. Beberapa jalanraya
telah dibina seperti jalan baru dari Alor Setar ke Perlis serta
jalanraya-jalanraya di tepi laut. Dalam usaha meninggikan taraf
ekonomi bumiputera pula, beliau telah berjaya menubuhkan Perbadanan
Kemajuan Negeri Kedah (P.K.N.K).
Semasa hayatnya, beliau merupakan seorang yang aktif
di dalam bidang sukan. Bolasepak, kriket dan olahraga merupakan
acara yang paling diminati oleh beliau. Oleh kerana minat yang mendalam
dalam bidang sukan, beliau telah berusaha membina sebuah stadium
iaitu Stadium Darulaman yang lahir dari cetusan idea dan cadangan
beliau. Terdapat beberapa bangunan terpenting di Kedah yang telah
diabadikan bersempena nama beliau di antaranya ialah Dewan Dato'
Syed Omar dan Sekolah Menengah Dato' Syed Omar di bandar Alor Setar
dan Dewan UMNO Dato' Syed Omar Shahabuddin di Pekan Baling, Kedah.
Tan Sri Syed Omar telah kembali ke rahmatullah
pada 7 Disember 1967. Sebagai menghargai dan mengenang kembali segala
sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahi pingat dan
darjah kebesaran antaranya Jaksa Pendamai (J.P), Dato' Seri Mahawangsa
oleh KDYMM Tunku Sultan Kedah pada tahun 1959, Panglima Mangku Negara
(P.M.N.) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada
tahun 1958 dan Seri Paduka Mahkota Kedah (S.P.M.K.) oleh DYMM Tuanku
Sultan Kedah pada tahun 1964.
|
|