| |
T.Y.T Tun Dato' Seri Utama Syed Ahmad telah dilahirkan
pada 4 Mei 1925 di Kulim, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal
di Sekolah Melayu Kulim dan meneruskan pengajian di Kolej Sultan
Abdul Hamid, Alor Setar hingga lulus Senior Cambridge pada tahun
1947.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Kerajaan
di Pejabat Perbendaharaan Negeri, Alor Setar dari tahun 1947 hingga
tahun 1955 dan pada masa yang sama membabitkan diri dalam kegiatan
SABERKAS dan Kesatuan Melayu Negeri Kedah (KMNK) yang berpusat di
Alor Setar.
Apabila Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)
ditubuhkan pada tahun 1946, Tun Syed Ahmad menyertai parti politik
dan menjadi ahli UMNO di Cawangan Alor Setar, Kedah. Mulai tahun
1951 hingga tahun 1954 beliau dilantik menjadi Penolong Setiausaha
UMNO Negeri dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha UMNO hingga
tahun 1967.
Semasa pembabitannya dalam politik, beberapa jawatan
telah disandang beliau di antaranya ialah Ahli Dewan Undangan Persekutuan
dari tahun 1955 hingga tahun 1959 dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri Kedah dari tahun 1958 hingga tahun 1967. Pada tanggal 14
Disember 1967, beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah
yang keempat menggantikan Dato' Syed Omar Shahabuddin yang telah
kembali ke Rahmatullah pada 7 Disember 1967. Jawatan Menteri Besar
Kedah telah disandang oleh beliau sehingga tahun 1978. Sebagai Menteri
Besar, beliau juga menyandang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan
UMNO Negeri, Ketua Barisan Nasional Negeri dan Ahli Majlis Tertinggi
(MT) UMNO Malaysia.
Pada tahun 1967, beliau turut dilantik menjadi Ahli
Dewan Negara selama dua tahun sehingga tahun 1969. Seterusnya beliau
dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri Malaysia
dari tahun 1978 hingga tahun 1980 dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia
di Singapura dari tahun 1981 hingga 1988. Beliau telah dilantik
sebagai Tuan Yang Terutama Negeri Melaka pada tahun 1989 hinggalah
sekarang menggantikan Tun Syed Zahiruddin.
Dalam masa pentadbiran beliau, perhatian ditumpukan
bagi mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan negeri bersama-sama
penyokong dalam kerajaan, khususnya Ahli-ahli Exco sebagai pembuat
dasar, sementara para pegawai kerajaan bertanggungjawab melaksanakan
dasar. Tun Syed Ahmad seringkali mengetuai rombongan kerajaan dan
ahli-ahli ekonomi melawat negara-negara luar bertujuan mempromosikan
Kedah dan meyakinkan para pelabur tentang potensi pelaburan dan
insentif-insentif yang disediakan di Negeri Kedah. Walaupun perhatian
tertumpu pada sektor perindustrian, namun sektor pertanian tetap
diberi perhatian. Projek raksasa yang menjadi kebanggaan kerajaan
yang dikenali sebagai Rancangan Pengairan Muda dibina. Nyatalah
projek itu memperlihatkan hasrat kerajaan di bawah pimpinan beliau
untuk mengekalkan identiti tradisi Negeri Kedah Darul Aman sebagai
Jelapang Padi Malaysia. Pandangan jauh beliau untuk membawa negeri
ini bersaing antara sektor pertanian dan perindustrian telah berjaya
mengangkat taraf hidup rakyat dengan perkapita yang meningkat dari
tahun ke tahun. Beliau juga berjaya mengurangkan kadar pengangguran
dan kadar kemiskinan di Negeri Kedah.
Demi menghargai sumbangan dan jasa bakti yang
telah dicurahkan, beliau dianugerahi pingat dan darjah kebesaran
antaranya S.M.N., S.S.M., P.S.M., D.U.N.M. , S.P.M.S., S.P.M.K.,
S.P.M.T., S.S.D.K., D.P., P.N.B.S., P.G.D.K., J.M.N. dan J.P.
|
|