| |
Tan Sri Dato' Seri Haji Osman Aroff dilahirkan
di Kampung Kelubi, Jitra, Kedah pada 23 November 1940. Beliau mendapat
pendidikan awal di Sekolah Melayu Jitra sehingga darjah empat. Seterusnya
pada tahun 1951, beliau meneruskan pendidikan menengah di Kolej Sultan
Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah. Beliau lulus Senior Cambridge pada
tahun 1958. Pada tahun 1959 hingga tahun 1963, beliau telah melanjutkan
pelajarannya di dalam bidang Sains Politik di American University
Washington, Amerika Syarikat.
Bakat kepimpinan yang terserlah pada dirinya menyebabkan
beliau diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai Setiausaha UMNO
cawangan Tanah Merah pada tahun 1956. Dua tahun kemudian, beliau
turut bertanggungjawab mengasaskan penubuhan UMNO Bahagian Jitra
setelah UMNO Bahagian Kedah Utara dibubarkan. Beliau telah diberi
kepercayaan dan dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO pertama bagi
bahagian tersebut. Walau bagaimanapun UMNO Bahagian Jitra kemudiannya
telah ditukar menjadi UMNO Bahagian Kubang Pasu hingga sekarang.
Tan Sri Dato' Seri Haji Osman Aroff bergerak setapak
lagi dalam kerjaya politiknya pada tahun 1969 apabila beliau dipilih
untuk bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun tersebut. Ini
menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan sebagai Pegawai Penerangan
Konsul Taiwan di Kuala Lumpur yang disandang sejak tahun 1966.
 |

Tan Sri Osman Aroff mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar
Kedah yang keenam di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit pada
28 Januari 1985. |
Melihat dari rekod perkhidmatannya yang cemerlang,
beliau telah dilantik menjadi anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri Kedah. Beliau juga pernah diberi kepercayaan memangku jawatan
Menteri Besar selama sebulan bermula dari Disember 1984 sehingga
Januari 1985 ketika Dato' Seri Syed Nahar bercuti. Pada 24 Januari
1985, Dato' Seri Syed Nahar mengumumkan perletakan jawatan dan menamakan
beliau sebagai Menteri Besar yang baru. Tan Sri Dato' Seri Osman
Aroff mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang keenam
di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit pada 28 Januari 1985.
Setelah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar, Tan
Sri Dato' Seri Osman sekaligus mengambil alih jawatan sebagai Ketua
Perhubungan UMNO Kedah merangkap Pengerusi Barisan Nasional Negeri.
Tan Sri Dato' Seri Osman Aroff telah melepaskan jawatan Ketua UMNO
Kubang Pasu yang disandang dari tahun 1969 hingga tahun 1972. Langkah
ini dibuat bagi memberi laluan kepada Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad
mengetuai Bahagian Kubang Pasu dan beliau sendiri bertindak sebagai
Timbalan Ketua Bahagian Kubang Pasu sehingga sekarang. Di peringkat
nasional, beliau telah dilantik menduduki ahli Majlis Tertinggi
UMNO. Dalam pilihanraya umum 1986, 1990 dan 1995, Tan Sri Dato'
Seri Osman Aroff berjaya mengekalkan kerusinya di Dewan Undangan
Negeri Jitra.
Tan Sri Dato' Seri Osman Aroff gemar menggunakan
pendekatan pragmatik dan realistik di dalam pentadbirannya. Beliau
berusaha untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri yang maju
di dalam pelbagai bidang antaranya sektor perindustrian, pertanian,
perniagaan, pendidikan dan pelancongan. Dalam soal pembangunan,
beliau menjalankan amanat UMNO yang mempunyai objektif untuk membangun
bersama rakyat dalam membahagikan kekayaan negeri. Cabaran Kedah
di bawah pimpinan Tan Sri Dato' Seri Osman Aroff ialah untuk mentransformasikan
Kedah daripada sebuah negeri berasaskan pertanian kepada sebuah
negeri berasaskan perindustrian. Dengan ini satu program yang dikenali
sebagai Pelan Tindakan Pembangunan Negeri (PTPN) telah dilancarkan.
Program jangka panjang ini bersifat komprehensif dan bermatlamat
memodenkan ekonomi dan meningkatkan produktiviti serta pendapatan
Negeri Kedah. Tumpuan utama pelan ini ialah terhadap tiga sektor
utama iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian komersial.
Beliau juga berusaha memperbaiki lagi sistem ekonomi Negeri Kedah
supaya ianya lebih kukuh disamping mengimbangi sumber ekonomi dengan
sumber manusia.
Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau
telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran antaranya Panglima
Setia Mahkota (P.S.M.) oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan
Agong yang membawa gelaran Tan Sri, Seri Setia Di Raja Kedah (S.S.D.K.),
Dato' Paduka Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (D.H.M.S.),
Johan Mangku Negara (J.M.N.) dan Jaksa Pendamai (J.P.). 
|
|