| |
Y.B. Tan Sri Dato' Seri Sanusi Junid dilahirkan
pada 10 Julai 1943 di Yan, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal
di Sekolah Melayu Yan pada tahun 1949 hingga tahun 1953 dan pendidikan
menengah di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani pada tahun 1954
hingga tahun 1956. Seterusnya pada tahun 1957, beliau berjaya meneruskan
pengajian ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Beliau kemudiannya
menyambung pengajian di Institute Of Bankers London, City of London
College dan Institute Of Export London pada tahun 1969. Kemudian beliau
meneruskan pengajiannya di London University sehingga memperolehi
'Certificate In Foreign Trade And Foreign Exchange' dan Berlitz School
Of Language, Germany.
Dato' Seri Sanusi Junid memulakan kerjaya sebagai
Pegawai Pelatih di Charterd Bank, Seremban pada tahun 1963. Pada
tahun 1971, beliau telah dilantik menyandang jawatan sebagai Setiausaha
Agung Koperasi Shamelin dan Pengurus Kanan Pinjaman Charterd Bank,
Kuala Lumpur. Beliau juga pernah dilantik memegang beberapa jawatan
dalam Lembaga Kerajaan antaranya pada tahun 1973, beliau dilantik
sebagai Ahli Majlis Perundingan Belia Negara, Ahli Lembaga Felda,
Ahli Majlis Perundingan Negara Mengenai Latihan Perusahaan dan Ahli
Majlis Penasihat Kebangsaan Pelindung Pengguna. Manakala pada tahun
1974, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Antara jawatan lain yang pernah disandang oleh beliau ialah Pengarah
Bank Simpanan Nasional pada tahun 1975 dan Pengurus Bank Shamelin.
Selain itu, beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Penyelarasan Pelaburan
Bumiputera, Ahli Majlis Tindakan Negara dan Ahli Majlis Perancang
Negara pada tahun 1981.
 |

Beliau juga aktif dalam bidang korporat dan juga profesional
selain daripada tugas-tugas rasminya. |
Bakat kepimpinan yang terserlah pada dirinya menyebabkan
beliau diberi kepercayaan dan dilantik memegang beberapa jawatan
penting di dalam kabinet. Pada tahun 1978 sehingga tahun 1980, beliau
dilantik sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Kemajuan Wilayah dan
selepas itu sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada tahun 1980
hingga 1981. Pada tahun 1981, beliau telah dilantik sebagai Menteri
Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan memegang jawatan tersebut
sehingga tahun 1986. Seterusnya, beliau di beri mandat memegang
jawatan sebagai Menteri Pertanian. Beliau telah dilantik sebagai
Menteri Besar Kedah Darul Aman yang ketujuh dan menyandang jawatan
tersebut pada 16 Jun 1996 sehingga November 1999.
Beliau mula melibatkan diri dalam bidang politik semenjak
tahun 1963 sebagai ahli UMNO Seremban. Setahun selepas itu, beliau
dilantik sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Seremban. Seterusnya,
beliau telah dilantik sebagai Bendahari UMNO Bahagian Seremban Timur
pada tahun 1966, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Seremban Timur dan
Setiausaha UMNO Bahagian Seremban Timur pada tahun 1967. Kemudian
pada tahun 1969, beliau telah dilantik sebagai Ketua Penerangan
Kelab Perikatan London. Seterusnya pada tahun 1974, beliau telah
dilantik sebagai Ahli Parlimen Jerai Kedah dan Timbalan Ketua UMNO
Bahagian Jerai pada tahun 1975. Pada tahun 1978, beliau telah dilantik
sebagai Ketua Penerangan UMNO Kedah.
Seterusnya pada tahun 1981, beliau dilantik memegang
jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia,
Pengerusi Biro Penerangan UMNO Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi
UMNO Malaysia. Pada tahun 1982, beliau dilantik sebagai Ahli Parlimen
Kawasan Jerlun / Langkawi dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.
Seterusnya pada tahun 1984, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha
Agong UMNO Malaysia serta Ketua Bahagian Jerlun / Langkawi pada
tahun 1986. Kemudian beliau telah dilantik sebagai Naib Presiden
UMNO Malaysia pada tahun 1990 dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan
Kuah pada tahun 2000.
Selain daripada tugas-tugas rasminya, beliau juga
turut aktif dalam bidang korporat dan juga profesional. Pada tahun
1975, beliau dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Insan Diranto Bhd.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Tugu Insurance Sdn
Bhd dan Pengerusi Obanto Management Consultancy Sdn Bhd pada tahun
1977. Kemudian, pada tahun 1978, beliau dilantik sebagai Ahli Jemaah
Universiti Teknologi Mara. Seterusnya pada tahun 1982, beliau diberi
kepercayaan dan dilantik sebagai Ahli Penasihat Kobena dan Ahli
Majlis Universiti Malaya. Pada tahun 1983, Dato' Seri Sanusi dilantik
sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hari Kebangsaan dan Ahli Majlis Perdagangan
Malaysia. Pada tahun 1991, beliau telah dilantik memegang jawatan
sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa. Selain daripada
itu, beliau pernah memangku jawatan sebagai Naib Presiden ABIM,
Setiausaha Agung Pertubuhan Kelab Belia Malaysia (MAYC), Pemangku
Presiden MAYC dan seterusnya Presiden MAYC.
Dato' Seri Sanusi Junid pernah menghasilkan beberapa
karya penulisan di antaranya bertajuk Empat Penggal Di Parlimen
Keempat pada tahun 1978, Kepimpinan Melayu Baru: Harapan dan Cabaran
pada tahun 1980, Biar Rugi Beribu Juta Untuk Menebus Maruah pada
tahun 1984, Semoga Tempayan Tidak Pecah pada tahun 1985, Di hempas
Badai Dilambung Gelombang pada tahun 1986, Antara Dua Ramadhan pada
tahun 1988, Antara Fakta dan UMNO pada tahun 1990, Jihad Membasmi
Kemiskinan pada tahun 1990 dan Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih
pada tahun 1990.
Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau
telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran antaranya D.S.S.M.,
S.S.S.A., D.G.S.M., Setia Mahkota Kedah (S.M.K.), Dato' Setia Di
Raja Kedah (D.S.D.K.), Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) dan Seri
Setia Di Raja Kedah (S.S.D.K.).
|
|