|
Dato' Seri Syed Razak dilahirkan pada 22 Ogos 1944,
di Kubang Rotan, Kuala Kedah. Beliau mendapat pendidikan menengah
di Sekolah Menengah St. Michael, Alor Setar, Kedah.
Dato' Seri Syed Razak merupakan seorang usahawan bumiputera
yang berjaya di dalam bidang perniagaan. Kejayaan beliau boleh dianggap
setanding dengan usahawan-usahawan bukan Melayu. Kewibawaan beliau
dalam bidang perniagaan menyebabkan beliau diberi kepercayaan menerajui
Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia Cawangan Kedah (DPPMMK)
sejak tahun 1986 lagi. Menerusi Dewan Perniagaan dan Perusahaan
Melayu Malaysia Cawangan Kedah (DPPMMK), Dato' Seri Syed Razak cuba
sedaya upaya untuk membawa peniaga-peniaga Bumiputera ke arah masyarakat
perdagangan dan perindustrian sejajar dengan matlamat Wawasan 2020
untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
Dato' Seri Syed Razak mula berkecimpung di dalam bidang
politik setelah dilantik sebagai Ketua UMNO cawangan Kilang Ais,
Kuala Kedah sejak 15 tahun dahulu. Bermula pada tahun 1985, beliau
telah dicalonkan untuk jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah
tetapi jawatan tersebut telah ditolak oleh beliau. Kemudian pada
tahun 1986, beliau telah dicalonkan bertanding bagi Dewan Undangan
Negeri Kawasan Pengkalan Kundor atas tiket Barisan Nasional dan
berjaya mengalahkan calon PAS. Seterusnya pada tahun 1987, beliau
berjaya menduduki kerusi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah.
Pada tahun 1993, beliau berjaya mengekalkan jawatan tersebut apabila
sekali lagi berjaya menduduki kerusi Timbalan Ketua UMNO Bahagian
Kuala Kedah.
 |

Dato' Seri Syed Razak merupakan seorang usahawan bumiputera
yang berjaya di dalam bidang perniagaan. Kejayaan beliau boleh
dianggap setanding dengan usahawan-usahawan bukan Melayu. |
Pembabitan beliau dalam bidang politik dan pentadbiran
kerajaan negeri Kedah lebih daripada 25 tahun menjadikan beliau
seorang pemimpin yang sangat berpengalaman dan berdedikasi. Beliau
telah dilantik menyertai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kedah pada
tahun 1992. Beliau mula berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat
Negeri Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Dato Seri
Hj. Osman Aroff dengan memegang portfolio kebudayaan, kesenian dan
pelancongan. Selaku ahli Exco, Dato' Seri Syed Razak dipertanggungjawabkan
sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri
Kedah dan Industri Kecil dan Sederhana. Tugas Dato' Seri Syed Razak
semakin berat apabila portfolio yang dipegangnya berkait rapat dengan
sektor pelancongan. Beliau telah menetapkan strategi dan objektif
bagi memajukan industri pelancongan di negeri Kedah ini sebagai
satu sumber pendapatan rakyat.
Dato' Seri Syed Razak dilantik sebagai Menteri Besar
Kedah ke lapan menggantikan Tan Sri Dato' Seri Sanusi Junid pada
12 Disember 1999 sehingga kini. Sebagai Menteri Besar Kedah, beliau
bertanggungjawab ke atas kewangan dan belanjawan negeri, bertindak
sebagai Pengerusi Jawatankuasa Galakan Pelaburan, Jawatankuasa Perancang
Ekonomi Negeri, Jawatankuasa Perancang Negeri, Majlis Pembangunan
Negeri, Jawatankuasa Tanah dan Hasil Bumi, Jawatankuasa Pembangunan
Teknologi Maklumat dan Jawatankuasa Keselamatan Negeri.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya
beliau telah dianugerahi pingat dan darjah kebesaran iaitu, Seri
Setia Di Raja Kedah (S.S.D.K.) Kesatria Mangku Negara (K.M.N.),
Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M.), dan Jaksa Pendamai (J.P.).
|