|
Dato' Paduka Hj. Shaari bin Hj. Daud dilahirkan pada 19 Januari
1921 di Kangar, Perlis. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah
Melayu Kangar dan Sekolah Melayu Sungai Korok, Alor Setar dari tahun
1926 hingga tahun 1931. Kemudian beliau melanjutkan pendidikan menengahnya
di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dari tahun 1932 hingga tahun
1939. Pada tahun 1948 hingga tahun 1951, beliau meneruskan pengajian
di Universiti Swansea, Wales dan seterusnya di Universiti Pittsburg
di Amerika Syarikat pada tahun 1960.
Kerjaya:
- Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Sept. 1969 - Sept. 1976)
Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional:
- Ahli Jawatankuasa Anugerah Pingat, Bintang Kebesaran Negeri
Kedah
- Ahli Majlis Universiti Utara Malaysia
- Ahli Jawatankuasa Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah
- Yang Dipertua Syarikat Kerjasama Pegawai Kerajaan Negeri Kedah
- Pengerusi Lembaga Pengurus Syarikat Pertama Perdagangan Negeri
Kedah
- Presiden Persatuan Pesara-pesara Negeri Kedah
- Ahli Jawatankuasa Persatuan Jaksa Pendamai Negeri Kedah
- Ahli Jawatankuasa Jemaah Dato'-Dato' Negeri Kedah
Sebagai satu sumbangan terhadap negeri Kedah, Dato' Paduka Hj.
Shaari pernah membentangkan satu kertas kerja supaya mewujudkan
sebuah bank untuk membolehkan anak Melayu menggadai tanah dalam
'reserve melayu' bagi memperolehi modal perniagaan. Pembentangan
kertas kerja itu telah diterima oleh Kongres Bumiputera Pertama.
Maka dengan itu tertubuhnya Bank Bumiputera dengan modal pertama
sebanyak lima juta ringgit.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan
pingat dan darjah kebesaran oleh Kerajaan Negeri Kedah. Antaranya
ialah Dato' Paduka Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (D.H.M.S.),
Dato' Paduka Mahkota Kedah (D.P.M.K.), Kesatria Mangku Negara (K.M.N.),
P.S.B., Bintang Cemerlang Kedah (B.C.K.) dan Jaksa Pendamai (J.P.).
Beliau juga telah dianugerahkan gelaran Dato' Seri Paduka Indera
(Dato' Bergelar Orang Besar Lapan).
|