Istana Pelamin


 

Sejarah
Bangunan yang terletak dibelakang Balai Besar ini pada asalnya adalah sebuah istana yang dikenal sebagai Istana Kota Setar. Istana ini dibina semasa pemerintahan Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II (1710-1778), Sultan Kedah yang ke-19.

Istana ini menempuh pelbagai pengubahsuaian sejak serangan tentera Bugis pada 1771 dan kerosakan akibat terbiar pada zaman pendudukan Siam di Kedah (1821-1842). Istana ini diperbaiki semula oleh Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879) pada tahun 1856.

Istana ini juga dikenali sebagai Istana Pelamin selepas berlangsungnya istiadat perkahwinan diraja sejak zaman Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah lagi. Dalam tahun 1904, di istana ini berlangsung satu majlis perkahwinan diraja lima orang putera puteri Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1943) iaitu YTM Tunku Ibrahim (Tunku Sulong), YTM Tunku Zainol rasyid (Tunku Dai), YTM Tunku Zam Zam (Tunku Pok), YTM Tunku Rokiah dan YTM Tunku Jora. Perkahwinan ini juga dikenali sebagai "Perkahwinan Berharga 3 juta ringgit" yang berlangsung selama 90 hari 90 malam. Sempena dengan perkahwinan ini bangunan ini dikenali sebagai Rumah Pelamin.

Selepas berlangsungnya perkahwinan diraja istana ini kemudiannya diduduki oleh Paduka Bonda Wan Hajar bt Wan Ismail (isteri Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah). Oleh kerana Wan Hajar lebih terkenal dengan gelaran "Mak Wan Besar" maka Istana Pelamin juga dikenali sebagai "Rumah Mak Wan Besar". Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah meletakkan isterinya iaitu Paduka Mak Cik Manjalara mendiami istana ini sehingga Paduka Mak Cik mangkat pada tahun 1941.

Istana Pelamin juga merupakan tempat YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama diputerakan iaitu pada 8 Februari 1903. Istana Pelamin ditinggal kosong selepas 1941 dan pernah digunakan sebagai Sekolah Latihan Gadis dan Ibu Pejabat Perkumpulan Wanita Kedah, Pejabat Pergerakan St. John dan Pengakap serta Ibu Pejabat Persatuan Bekas Perajurit Negeri Kedah. Bangunan Istana Pelamin telah diisytiharkan sebagai Muzium DiRaja Kedah pada 25 Julai 1983.

Rekabentuk
Sebahagian besar rekabentuk senibina Istana Pelamin adalah berasal dari keaslian senibina Kedah sendiri. bahan-bahan yang digunakan sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan bahan yang digunakan untuk pembinaan Balai Besar, bahkan saiz-saiz kayu yang digunakan juga adalah sama.

Bumbung-bumbung di Rumah Pelamin terdiri dari jenis bumbung panjang dan bumbung lima beratap genting. Dari segi konsep binaan Rumah Pelamin, ianya lebih mirip konsep binaan yang terdapat di dalam istana di Jepun dimana tidak ada bilik-bilik tertentu yang dibina. Sekatan cuma dengan menggunakan "partition" sahaja. Oleh yang demikian, ruang-ruang untuk bilik tidur dan rehat tidak tetap serta sentiasa berubah mengikut kehendak dan keselesaan.

Pada dasarnya Istana Pelamin terdiri daripada 3 bahagian. Bahagian sebelah kanan bangunan ini dikenali sebagai Rumah Pelamin. Bahagian tengah adalah tempat kediaman kaum wanita dan kanak-kanak. Disinilah Mak Wan Besar melayani tetamu-tetamu wanita. Bahagian rusuk sebelah utara ialah kawasan orang lelaki. Disinilah dalam lanjutan usianya Almarhum Sultan Abdul Hamid berangkat tinggal.


 
                     Copyright © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah. All Rights Reserved