|
Pada
2 Januari 1956, 'Rombongan Kemerdekaan' pimpinan Tunku yang mewakili
Perikatan yang terdiri daripada Tunku sendiri, S.H. Lee dan T.H.
Tan di satu pihak dan satu pihak lagi mewakili Raja-raja Melayu
iaitu Dato Panglima Bukit Gantang (Menteri Besar Perak), Abdul Aziz
Abdul Majid (Menteri Besar Selangor), Dato' Wan Idris Wan Ibrahim
(Timbalan Menteri Besar Johor) dan Dato' Nik Ahmad Kamil (bekas
Menteri Besar Kelantan) telah berlepas ke Karachi dengan kapal Ital
'Asia' dan kemudiannya dengan kapal terbang ke London.
Pada
18 Januari 1956 rundingan kemerdekaan pun bermula. Pihak kerajaan
British diwakili oleh Allen Lennox Boyd. Rundingan tersebut mencakupi
pelbagai masalah termasuklah masalah Raja-raja Melayu, kedudukan
pegawai-pegawai awam British yang sedang berkhidmat di Tanah Melayu
dan lain-lain langkah peralihan yang perlu diputuskan sebelum kemerdekaan
serta tarikh kemerdekaan yang menurut Tunku perlu disegerakan. Perundingan
itu tamat setelah diadakan selama tiga minggu dengan kejayaan cemerlang
di pihak Tunku Abdul Rahman. Pada 6 Februari 1956, beliau telah
menurunkan tandatangan atas perjanjian 'Merdeka' bersama Lennox
Boyd dalam satu istiadat sederhana di Lancester House.
Dua
minggu setelah kembali ke Kuala Lumpur, tunku telah mula memegang
Kementerian Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri. Beliau menjadi
Pengerusi Majlis Gerakan Menghapuskan Darurat. Dalam pada itu berbagai-bagai
masalah timbul mengenai soal hak kerakyatan dan satu undang-undang
kerakyatan umum. Islam diterima sebagai agama rasmi dan rakyat bukan
Melayu bebas mengamalkan agama mereka.
Pada
malam 30 Ogos 1957, negara Malaysia penuh dengan keriangan. Beberapa
minit sebelum tengah malam, Tunku Abdul Rahman tiba. Bendera Malayan
Union Jack diturunkan tepat jam 12 tengah malam dan di tempatnya
digantikan dengan bendera Persekutuan.
|