|
Rakyat jelata seluruh negeri, Melayu dan bukan
Melayu, diarah membantu mendirikan balai-balai, membersihkan jalan
dan lorong serta kawasan bandar. Orang - orang yang bekerja tidak
diberi gaji atau upahan tetapi hanya diberi makan percuma. Kerana
jumlahnya mencecah ribuan orang, perbelanjaanya amatlah besar. Kepada
pekerja-pekerja dari setiap daerah diperuntukkan dua ekor kerbau
dan seguni beras setiap hari.
Selain dari makanan, pekerja dan bahan-bahan
untuk mendirikan bangunan yang dibekalkan dari dalam negeri, maka
banyak pula bekalan-bekalan berupa kain baju dan lain-lain yang
terpaksa diimpot. Satu taksiran Kerajaan menyebut bahawa lima buah
kapal lilin telah dipesan dari luar negeri. Kebanyakan barang-barang
import ini datang dengan kapal api dari syarikat Prichards di Pulau
Pinang. Pada ketika itu, jalan raya dan jambatan Bumbung Lima menyeberangi
Sungai Merbuk belum lagi dibina. Bangunan lama Sekolah Melayu Jalan
Baharu digunakan sebagai setor untuk menyimpan bahan-bahan ini.
Ini menyebabkan lantai sekolah tersebut telah runtuh kerana muatannya
terlalu berat.
Kain-kain yang dibawa masuk ialah untuk dipotong
menjadi uniform pegawai-pegawai, pengawal, juruiring dan kakitangan
kerajaan. Pegawai-pegawai kanan dikehendaki memakai pakaian rasmi
makan malam cara Eropah setiap kali menghadiri upacara-upacara malam
dan pakaian ini disediakan percuma. Hanya yang paling baik dibekalkan
dan kain-kain untuk uniform ini ialah dari jenis yang terbaik.
Raja-raja Melayu atau wakil-wakil baginda telah
berangkat hadir pada hari perkahwinan pertama iaitu hari perkahwinan
Tunku Ibrahim yang dikenali sebagai Tunku Sulung. Raja Negara Thai
membawa pengiring paling ramai telah bersemayam di Istana Lama Anak
Bukit (Istana Anak Bukit sekarang didirikan pada tahun 1927). Selepas
perkahwinan Tunku Sulung, Raja-raja berangkat pulang ke negeri masing-masing,
tetapi hamba rakyat seluruh negeri Kedah yang menjadi tetamu dan
berkumpul dengan ramainya di Bandar Alor Setar tinggal selama tiga
bulan. Semua pejabat ditutup kecuali Mahkamah Kecil sahaja yang
terus menjalankan perbicaraan.
Istiadat meminang ialah upacara yang paling
awal dilakukan. ia dilakukan pada 15 Jun 1904. Upacara ini melibatkan
sekurang-kurangnya lima belas orang terdiri dari tiga orang tua
dari kalangan lelaki dan tiga orang tua perempuan. Mereka dibantu
oleh enam orang lelaki muda dan tiga wanita muda. Orang tua bertanggungjawab
menguruskan istiadat pertunangan dengan rasmi. Orang-orang muda
menatang bekas-bekas hantaran yang mengandungi wang dan persembahan-persembahan
lain. Selepas ketua rombongan menyembahkan surat pedomah atau surat
peminangan kepada ayahanda calon pengantin perempuan atau wakil
ayahnya, pihak perempuan akan membaca isi surat pendomah kepada
orang-orang yang hadir di dalam majlis. Rombongan anak teruna akan
berangkat pulang ketempat persinggahan mereka dengan iringan pukulan
Nobat DiRaja dan dipayungkan dengan ubur-ubur hijau iaitu payung
negeri. Di rusuk bangunan Balai Besar masih lagi dapat dilihat "tambak
inai" iaitu tempat ditanamkan pokok-pokok inai yang digunakan semasa
"siram berlimau" iaitu apabila pengantin lelaki dan perempuan dimandikan
dengan daun itu. Daun inai digunakan juga di dalam upacara berinai
dimana jari-jari dan tapak tangan pengantin dimerahkan dengan adunan
daun itu. Daun-daun inai ini dipungut oleh gadis-gadis istana yang
berbaris atau berarak dengan membawa alat-alat kebesaran negeri
mengelilingi tambak inai tersebut .Pungutan daun ini dilakukan disebelah
malam tiga kali berturut-turut.
Istiadat bersanding dilangsungkan di Rumah Pelamin.
Rumah ini merupakan sebuah bangunan tambahan baru kepada Istana
Kota Lama di belakang Balai Besar. Di dalam kawasan Istana Kota
Lama ini didirikan "panca persada't. Bangunan setinggi tujuh tingkat
ini didirikan khusus untuk upacara "'berlimau" atau yang lebih dikenali
sebagai istiadat bersiram.
Perayaan perkahwinan YTM Tunku Ibrahim berlangsung
selama dua minggu. Selepas berehat beberapa hari barulah dilangsungkan
pula upacara pernikahan yang kedua dan seterusnya. Putera dan Puteri
Yamtuan Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang melangsungkan upacara
penikahan selepas Tunku Sulung ialah Tunku Abdul Rashid yang dikenali
sebagai Tunku Daii, Tunku Jamjam yang dikenali juga sebagai Tunku
Pok, Tunku Rokih dan akhirnya Tunku Jora.
Tetamu-tetamu istimewa diraikan di Balai Besar
yang merupakan sebagai Balai Rong." Sepanjang masa tetamu berada
di Balai Besar mereka akan disediakan dengan santapan dan ayapan
termasuk makan pagi. Minuman "champagne" dan cerutu Mesir dibekalkan
tanpa had kepada siapa sahaja yang memerlukannya. Kononnya sebanyak
tiga puluh peti arak jenis "champagne" ini dihabiskan setiap hari.
Balai Besar bukan merupakan satu-satunya tempat
jamuan, bangunan JKR (sekarang Bangunan Balai Seni Negeri) dan bangunan-bangunan
lain juga dijadikan tempat makan dan minum. Lain kumpulan orang,
lain pula tempat makan minumnya. Balai Besar ialah tempat santapan
anak-anak raja dan orang-orang kenamaan. Ada pula bangunan lain
untuk sayid-sayid dan wan-wan, lain pula untuk haji dan lebai. Tetamu
dan hamba rakyat dari seluruh negeri dijamu dan dihiburkan selama
tiga bulan dengan percuma, Bangsal-bangsal yang menjadi dewan makan
juga merupakan sebagai hotel percuma di mana makanan dan minuman
disediakan sepanjang masa. Sekurang-kurangnya empat puluh ekor lembu
atau kerbau disembelih pada setiap hari.
Hiburan tidak pula dilupakan. Setiap malam ada
sahaja hiburan-hiburan yang dipersembahkan. Di antara pemainan-permainan
yang popular pada rnasa itu seperti bangsawan, Wayang Cina, Wayang
India dan Wayang Siam. Di Padang "Court" terdapat empat pentas ronggeng
dengan tujuh orang penari pada setiap satunya. Penari-penari joget
ini didatangkan khas dari Singapura atau Pulau Pinang. Selain dari
itu ada pula bangsal-bangsal atau gelanggang untuk permainan hadrah,
wayang kulit dan bersilat.
Taksiran yang berlainan menjumlahkan perbelanjaan
yang terlibat sebanyak tiga juta sehingga empat juta ringgit. Jumlah
wang yang besar ini mustahil dapat dicakupi dengan hasil mahsul
yang dipungut oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan terpaksa berunding
untuk mendapatkan pinjaman dari Kerajaan Thai. Sebanyak $2,600,000.00
telah dipinjamkan dengan beberapa syarat.
Satu dari syarat yang Kerajaan Kedah dipaksa
menerimanya ialah menerima perlantikan seorang Penasihat Kewangan.
Kerajaan Thai telah menghantar Encik Hart, seorang pegawai Inggeris
yang telah lama berkhidmat dengan Kerajaan Thai. Apabila Kedah menjadi
negeri naungan British pada tahun 1909, W. G. Maxwell (Kemudiannya
Sir George Maxwell) telah dilantik menjadi Penasihat British di
sini. Sejak itu pengurusan menyelesaikan hutang piutang negeri diambil
alih oleh Kerajaan British.
Barangkali sudah ditakdirkan yang Negeri Kedah
akan menjadi sebuah dari negeri-negeri Melayu yang dinaungi oleh
British, tetapi tidaklah terjadi dengan begitu cepat jika tidak
kerana pemborosan yang melimpah ruah dimajlis perkahwinan lima beradik
ini.
|