|
Nama ini diabadikan kepada sebuah
lokasi khas yang terletak di tengah-tengah bandar Alor Star di sebuah
tanah lapang atau padang setelah terbinanya sebuah bangunan moden
iaitu Mahkamah Besar (High Court) dalam tahun 1893. Bangunan ini
merupakan bangunan moden kerajaan Kedah terawal yang dibina di bandar
Alor Star yang kini terkenal dengan nama 'Balai Seni Negeri'.
Kedudukan Padang Court amat menarik kerana ianya di kelilingi oleh
beberapa bangunan lama dan moden dan penting dari sudut sejarah
pembangunan bandar Alor Star. Bangunan-bangunan tersebut ialah Istana
Kota Setar atau Istana Pelamin (kini dikenali sebagai Muzium DiRaja),
Balai Besar, Balai Nobat, Menara Jam Besar, Masjid Negeri (Masjid
Zahir), Balai Seni Negeri (dahulunya Mahkamah Besar), Bangunan Wan
Muhammad Saman dan Mahkamah Tinggi. Dahulunya, Jalan Raja yang bermula
dari Jambatan Sultan Abdul Halim itu bersambung melalui hadapan
Bangunan Wan Muhammad Saman dan Balai Besar.
Beberapa peristiwa penting lagi bersejarah telah berlaku di Padang
Court dan sekitarnya semenjak abad ke-19 lagi. Antara peristiwa-peristiwa
tersebut berdasarkan kronologi tahun berlakunya peristiwa itu adalah
seperti berikut :
17 Mei 1897 :
Penyerahan kembali wilayah Setul dan Perlis kepada Kedah di bawah
pentadbiran Sultan Abdul Hamid Halim Shah. YTM Tunku Abdul Aziz,
Raja Muda (adinda Sultan Abdul Hamid) hadir di upacara tersebut
bagi pihak Sultan.
2 Jun hingga September 1904 :
Upacara perkahwinan secara besar-besaran lima orang putera Sultan
Abdul Hamid Halim Shah berlangsung di Istana Kota Setar, Balai
Besar, Balai Seni dan Padang Court. Padang Court dikhususkan untuk
tempat jamuan seluruh rakyat dan pentas-pentas pertunjukan atau
hiburan rakyat. Upacara yang berlangsung selama tiga bulan itu
menelan belanja 10 juta ringgit.
18 Oktober 1943 :
Majlis penyerahan kuasa pentadbiran tentera Jepun kepada pentadbiran
Siam diadakan. Almarhum Sultan Badlishah berangkat hadir dalam
upacara ini.
19 Januari 1946 :
Rapat raksasa pertama diadakan yang dihadiri seramai 50 ribu orang
Melayu kerana bantahan terhadap gagasan Malayan Union yang diperkenalkan
oleh penjajah Inggeris.
30 Mei 1946 :
Rapat raksasa kedua atas tujuan yang sama diadakan dipengerusikan
oleh Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra sempena kunjungan dua
wakil kerajaan British iaitu Kolonel Ross William dan Kapten Gammans.
Resolusi bantahan tersebut telah disampaikan kepada mereka.
8 Julai 1954 :
Perarakan dan perhimpunan dari Parti Perikatan UMNO dan MCA telah
diadakan yang diketuai oleh Dato' Syed Omar Shahabudin kerana
membantah pembahagian kerusi dalam Penyata Pilihanraya Pertama
yang dirangka oleh Kerajaan Inggeris. Surat bantahan tersebut
telah disampaikan oleh YTM Tunku Kassim ibni Almarhum Sultan Abdul
Hamid Halim Shah kepada Almarhum Sultan Badlishah, di hadapan
Balai Besar.
31 Ogos 1957 :
Upacara menurunkan bendera penjajah 'Union Jack' kali terakhir
pada jam 12 malam dan pada keesokan paginya Majlis Pengisytiharan
Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan. DYTM Tunku
Abdul Halim, Raja Muda Kedah berangkat ke upacara tersebut mewakili
paduka ayahandanya yang menghadiri upacara yang sama di Stadium
Merdeka bersama Raja-raja Melayu yang lain.
Sempena pertabalan Ratu Elizabeth sebagai Raja Great Britain pada
tahun 1953, sebuah pentas berbumbung telah dibina di tengah-tengah
Padang Court. Ianya digunakan sebagai tempat berucap bagi sesuatu
majlis atau upacara penting. Semenjak tahun 1955, pentas ini juga
digunakan untuk kempen-kempen pilihanraya negeri dan persekutuan.
Kini sebuah pancutan air telah didirikan di situ sempena menyambut
perayaan Jubli Perak pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim
Mu'adzam Shah pada tahun 1983. Padang Court kemudiannya dikenali
sebagai Medan Budaya dan Medan Bandar.
|
 
Persekitaran medan
budaya/
padang court.
|


|
|