Selamat Datang ke laman web Raja Kita


Sistem Monarki Negeri Kedah
Kuasa Diraja
Perlantikan Sultan Kedah
Salasilah Duli-Duli Yang Maha Mulia
Alat Kebesaran Diraja
Adat Istiadat Diraja
Laman Utama
  
English Version
Alat Kebesaran DiRaja


Gendik DiRaja

Permukaan depan berbentuk lambang Negeri Kedah bertatahkan berlian dan tepinya berlambangkan bentuk padi yang ditanam permata berlian di dalamnya. Sementara di atas lambang Negeri Kedah terdapat lambang pokok yang mana di atasnya terdapat sebiji permata berlian yang terbesar sebagai tunggak di dalam bentuk mahkota.

Pokok yang di atas lambang tersebut berpecah lima cabang bunga dengan sekuntum bunga terbesar dan dikelilingi empat kuntum bunga di tepinya. Di sebelah tepi kiri dan kanannya berbentuk pokok yang berdaun panjang. Selain daripada itu terdapat 12 kuntum bunga kesemuanya. Di sini juga terdapat sebatang pohon menjadi sebagai penyambung antara lambang Negeri Kedah dan juga Mohor tersebut. Kuntum-kuntum bunga tersebut bertatah berlian yang sederhana besarnya, sementara di mohornya lebih kecil sedikit. Di daun-daun yang berlipat ditanam dengan batu permata berbentuk petak empat segi.

Pada peringkat ketiga pula terdapat pokok yang lebih kecil di mana terdapat satu bintang bercabang lima bersama bulan sabit yang melambangkan keislaman di negeri ini. Pohon tersebut berbunga berlian sebanyak lima kuntum.

Pada peringkat akhir bentuk gendik ini dibuat berbentuk daun panjang yang terdiri daripada 4 helai daun berbentuk menurun iaitu 3 helai daun panjang dan satu helai daun kecil. Pada daun yang awal ditatah berlian yang berpetak empat segi sementara tiga lagi terdapat berlian yang biasa. Di dalam empat helai daun yang akhir ini disulam dengan 6 kuntum bunga berlian yang kecil.

Bentuk gendik permaisuri ini diperbuat daripada emas putih yang berkualiti 22k dengan kerja tangan yang halus. Keseluruhan berat gendik ini dianggarkan 205.15 gram. Batu-batu berlian pula adalah daripada batu berlian berkualiti kelas 'A' dan yang terpilih iaitu tidak ada satu pun yang cacat. Semua batu berlian terdiri daripada kelas warna yang sama, sama ada bentuk bulat ataupun yang empat segi. Di kalangan orang tempatan, berlian jenis ini dikenali juga sebagai 'berlian air biru' (blue diamond). Berlian kelas ini adalah terbaik di dunia.

   
Klik ke atas
Hak Cipta © 2003 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah. Semua Hak Cipta Terpelihara. Konsep dan Rekaan Web Guru Asia.
  Maklum Balas