|

Peraturan Istiadat Perkahwinan
DiRaja Negeri Kedah Darul Aman adalah warisan daripada
istiadat yang diamalkan sejak zaman berzaman. Upacara-upacara
ini diadakan dalam suasana gilang gemilang dan melibatkan
perbagai tahap istiadat. Tahap-tahap istiadat yang
hendak dijalankan perlulah mendapat perkenan Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Istiadat-istiadat
yang berlangsung dalam Istiadat Perkahwinan adalah
seperti berikut:
Istiadat
Merisik
Istiadat Meminang
Istiadat Meletak
Kerja
Istiadat Berinai
Istiadat Menerima
Hantaran
Istiadat Bersanding/Merenjis
Istiadat Bersiram
Tahap pertama merupakan istiadat
merisik dengan disusuli Istiadat Meminang. Setelah
selesai Istiadat Meminang dan setelah diperkenankan
oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah,
Istiadat Meletak Kerja disempurnakan. Dalam Istiadat
ini, warkah peminangan dan segala hantaran dipersembahkan.
Istiadat Meletak Kerja berikutnya didahului dengan
paluan Nobat dan tembakan meriam sembilan das. Istiadat
Berandam dilangsungkan selepas Istiadat Meletak Kerja
dan dijalankan oleh Mak Andam dengan menggunakan peralatan
istiadat yang diwarisi sejak dahulu. Pengantin Puteri
ditepung tawar dan disintuk limau sebelum dimandikan.
Istiadat Berinai Kecil dilangsungkan
selepas Istiadat Berandam. Istiadat Berinai Kecil
hanya melibatkan kaum wanita sahaja. Kerja memetik
inai di tambak inai disempurnakan oleh pawai perermpuan
dengan iringan muzik tradisional. Tahap seterusnya
merupakan Istiadat Hantaran dan Penerimaan Mas Kahwin
serta Akad Nikah. Tempatnya berlangsung di Dewan Penghadapan.
Istiadat Berinai Besar diadakan
pada sebelah malam pada hari yang sama dengan Istiadat
Penerimaan Mas Kahwin dan Akad Nikah. Dalam Istiadat
Berinai Besar, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku
Sultan dan ahli-ahli Kerabat DiRaja yang kanan merenjis
dan menepung tawar Pengantin DiRaja Putera. Manakala
Pengantin DiRaja Puteri pula direnjis dan ditepung
tawar oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah
dan ahli-ahli Kerabat DiRaja yang lain.
Kemuncak Istiadat Perkahwinan
ialah Istiadat Persandingan yang berlangsung serentak
dengan Majlis Santapan Malam. Kedua-dua pasangan mempelai
bersanding di atas peterana, dan kemudiannya dibawa
pula ke Geta Kirana. Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan
dan Permaisuri-Permaisuri negeri-negeri turut merenjis
dan menepung tawar kedua pasangan mempelai.
Selang beberapa hari diadakan
pula Istiadat Berlimau yang berlangsung di panca persada.
Kedua-dua mempelai dirinig ke panca persada dengan
iringan paluan Nobat. Istiadat Menyambut menjadi istiadat
yang terakhir di dalam Istiadat Perkahwinan DiRaja.
Istiadat ini diadakan di Dewan Penghadapan dengan
dihadiri oleh Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku
Sultan dan Sultanah, kaum Kerabat, pembesar-pembesar
negeri serta dif-dif jemputan.
|